Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2013
  • Kesedaran wartawan mengenai KKP perlu dipertingkat
Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2013
  • Kesedaran wartawan mengenai KKP perlu dipertingkat

Kesedaran wartawan mengenai KKP perlu dipertingkat

Utusan Online, 10 Oktober 2013

 

KEKERAPAN saya berinteraksi dengan kakitangan media di beberapa bahagian di dalam negara membuatkan saya mempunyai tanggapan bahawa pengetahuan mereka mengenai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) adalah masih minimum dan banyak yang perlu dilakukan bagi meningkatkan kesedaran mereka.

Setiap petugas media perlu dididik tentang cara untuk menyesuaikan diri dengan semua jenis situasi serta kaedah terbaik bagi mereka menguruskan risiko yang terdedah semasa membuat tugasan.

Insiden tragis yang melibatkan Jurukamera Bernama TV, Noramfaizul Mohd. Nor yang meninggal dunia semasa bertugas membuat liputan mengenai perang yang melanda Somalia pada tahun 2011 mengingatkan kita mengenai kepentingan keselamatan dalam kalangan petugas media.

Kemajuan dalam teknologi komunikasi telah meningkatkan permintaan bagi mendapatkan maklumat terkini. Organisasi media sering bersaing antara satu sama lain untuk menghantar berita-berita terkini.

Kebanyakan organisasi media yang menghantar petugas-petugas mereka untuk membuat liputan di zon konflik perlu menawarkan beberapa jenis latihan sebelum mereka bertugas.

Antara latihan yang boleh diadakan adalah seperti asas pertolongan cemas, penilaian risiko, teknik kemahiran hidup, pakaian perlindungan diri serta informasi mengenai kawasan di mana mereka akan bertugas.

Dalam kebanyakan kes, wartawan dan jurugambar mungkin tidak sedar akan bahaya yang bakal mereka hadapi ketika bertugas di tempat kejadian seperti kebakaran, banjir, letupan kimia, tanah runtuh dan sebagainya. Wartawan dan jurugambar perlu ditawarkan latihan terutamanya di lokasi pemberitaan yang berisiko tinggi.

Mereka juga perlu diberi maklumat dan dimaklumkan mengenai risiko terhadap kesihatan dan keselamatan mereka. Alat peralatan perlindungan peribadi yang berkualiti juga perlu disediakan.

Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), banyak lagi yang perlu dilakukan oleh pertubuhan-pertubuhan media untuk melindungi kakitangan mereka. Perkara yang perlu diberi penekanan adalah keperluan meliputi "persediaan yang cukup oleh wartawan dan media sebelum melakukan tugasan".

Organisasi media perlu memberikan bantuan teknikal dan mengadakan program latihan yang direka khusus untuk meningkatkan tahap keselamatan peribadi serta dapat menjalankan penilaian risiko yang berkaitan dengan tugasan tertentu.

Selain itu, Kod Antarabangsa Amalan Perlakuan Selamat bagi bidang Kewartawanan menyatakan bahawa profesional media mesti dimaklumkan mengenai politik, fizikal dan sosial di kawasan mereka bekerja. Mereka tidak perlu terlibat dalam keadaan yang tidak menentu dan tidak selamat akibat daripada sikap tidak ambil peduli dan tingkah laku melulu.

Ia seterusnya menyatakan bahawa wartawan dan kakitangan media yang lain hendaklah dilengkapi dengan alat-alat pertolongan cemas, alat komunikasi, kemudahan pengangkutan yang mencukupi serta pakaian perlindungan jika perlu ketika keluar melakukan tugasan.

Di Malaysia, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Sumber Manusia telah memperkenalkan garis panduan untuk profesional media berkaitan amalan kerja yang selamat.

Garis panduan yang bertindak sebagai Prosedur Kerja Selamat (SOP) akan membolehkan kakitangan media dilengkapi maklumat apabila menjalankan liputan media dalam zon berbahaya.

Saya akhiri dengan petikan ini: "Tugas wartawan adalah untuk melaporkan berita, dan bukan untuk menjadi berita. Seorang wartawan yang meletakkan dirinya dalam keadaan yang berisiko dan sia-sia serta berkelakuan dengan cara yang tidak profesional, akhirnya tidak akan dapat melaporkan berita atau menunjukkan gambar yang perlu dilihat."

 

Print Email