Laporan awal kes runtuhan tanjakan Jambatan Kedua Pulau Pinang Oktober ini
Berita Harian Online, 9 Ogos 2013
KUCHING: Kementerian Kerja Raya akan mengeluarkan laporan awal mengenai runtuhan penyambungan tanjakan susur keluar ke Jambatan Kedua Pulau Pinang pada Oktober depan, kata Menterinya, Datuk Fadillah Yusof.
Beliau berkata, laporan oleh kumpulan pakar seramai 12 orang yang dibentuk khas oleh kementeriannya ditugaskan mengkaji semua aspek berkaitan amalan biasa industri pembinaan dan menyiasat sama ada ia dipatuhi dalam kes berkenaan.
"Maklum balas awal yang diterima dari kumpulan pakar itu mengatakan terdapat kecuaian, tidak mematuhi standard serta amalan-amalan yang sepatutnya dipatuhi dan ditetapkan dalam sektor pembinaan sehingga mengakitkan runtuhan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Petra Jaya di sini, hari ini. Mengulas lanjut, Fadillah berkata selain menjalankan siasatan kes runtuhan tersebut, kumpulan 12 pakar yang terdiri antaranya dari pihak arkitek, wakil syarikat pemaju, ahli akademik dan agensi kerajaan itu turut mengkaji proses dan sistem sektor pembinaan sedia ada supaya apabila pelaksanaan projek pembangunan dilakukan pada masa hadapan, risiko kemalangan dapat dikurangkan.
"Matlamat kita ialah untuk mengkaji keseluruhan perjalanan projek termasuk aspek perundangan, amalan pihak industri, bahan reka bentuk, pemantauan projek, rangkaian bekalan serta kemahiran pekerja," katanya.
Fadillah berkata, laporan awal itu akan dimuktamadkan hanya selepas satu konsultasi bersama dengan semua pihak berkaitan industri pembinaan diadakan.
"Laporan akhir pula akan dikemukakan kepada kerajaan, dan jika ada input yang bersesuaian, seperti perubahan dasar, penambahbaikan undang-undang, serta amalan dalam sektor pembinaan, kita akan laksanakan," katanya.
Dalam kejadian 6 Jun lalu itu, tanjakan konkrit di susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di Batu Maung, runtuh dan mengakibatkan seorang terbunuh dan tiga lagi cedera.
Pada 6 Julai, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Datuk Ir Dr Johari Basri mengesahkan siasatan pihaknya mendapati wujud unsur kecuaian dari segi prosedur dan teknikal oleh pihak kontraktor.
- BERNAMA