• Archive News
  • 2013
  • Kemalangan di tapak binaan tidak dipandang remeh: Hatta
Slider

Kemalangan di tapak binaan tidak dipandang remeh: Hatta

Borneo Post Online, 1 November 2013

 

KUCHING: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sarawak tidak mengambil mudah akan kes-kes kemalangan di tapak pembinaan melibatkan perancah meskipun senario ini adalah terkawal di negeri ini.

Pengarahnya Mohd Hatta Zakaria berkata bagi tujuan itu JKKP Sarawak melalui Seksyen Kerja Bina telah mengambil inisiatif untuk menjalankan satu operasi yang dikenali sebagai Ops Cegah Runtuh terhadap 30 tapak pembinaan di sekitar bandar raya ini mulai 28 hingga 31 Oktober 2013.

Hasil daripada operasi selama empat hari itu, pihak jabatan telah mengeluarkan sejumlah 112 notis melibatkan pelbagai kesalahan antaranya tepian terbuka tidak dihadang, gagal memastikan perancah yang digunakan diperiksa oleh orang yang ditetapkan dalam tempoh tujuh hari, tiada perakuan bagi acuan dan penyangga semula sebagai binaan yang selamat oleh jurutera profesional kesalahan-kesalahan lain.

Berdasarkan notis yang dikeluarkan selama empat hari operasi dan kesalahan-kesalahan yang direkodkan, Hatta percaya banyak lagi yang perlu dilakukan dan dipertingkatkan oleh majikan dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

“Pada bulan Mei 2012 lalu, satu kejadian perancah runtuh berlaku di satu tapak bina berhampiran Simpang Tiga di sini dan telah mengorbankan seorang pekerja.

“Pekerja tersebut berada berhampiran struktur perancah sebelum ia runtuh malangnya mangsa tidak sempat melarikan diri dan akhirnya dihempap struktur perancah yang roboh.

“Jika diperhatikan, kejadian perancah runtuh boleh mengakibatkan kematian atau kecederaan sama ada kepada mereka yang bekerja di atas perancah atau yang berada di persekitaran mahupun yang tiada kena-mengena dengan kerja pembinaan tersebut.

“Kejadian seperti ini dapat dielakkan sekiranya pihak kontraktor mengambil langkah awal seperti pemilihan kontraktor perancah yang berwibawa, penggunaan bahan yang bermutu dan mematuhi standard atau piawaian oleh orang yang kompeten,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Ops Cegah Runtuh anjuran JKKP Sarawak dengan kerjasama Coromax Sdn Bhd di tapak projek pembinaan Viva City, Jalan Wan Alwi di sini semalam.

Tambah Hatta, sehingga tahun 2012, JKKP Sarawak telah mendaftar seramai 1,505 pengendali perancah peringkat asas, 143 pengendali perancah peringkat pertengahan dan 29 pengendali perancah peringkat tertinggi.

Permintaan bagi pengendali perancah peringkat tertinggi amat tinggi di sektor minyak dan gas dan menyebabkan kekurangan yang ketara bagi menampung permintaan di sektor lain terutama sektor pembinaan.

Berikutan itu, majikan menurut Hatta perlulah mengambil inisiatif untuk meningkatkan kepakaran pengendali perancah mereka bagi mengisi kekurangan ini serta tegas dalam memastikan setiap jenis perancah dipasang, dirombak dan diperiksa oleh orang yang kompeten.

Alasan bahawa ketiadaan pengendali perancah yang kompeten dan amalan sudah menjadi budaya turun-temurun tidak boleh diterima sedangkan penyebabnya ialah pihak kontraktor sendiri yang ingin menjimatkan kos.

Dalam pada itu, Hatta pada sidang media selepas majlis tersebut memberitahu bahawa sebanyak 31 kes kemalangan maut di tapak pembinaan dilaporkan setakat Oktober tahun ini melibatkan pelbagai sektor pembinaan di negeri ini.

Daripada kes tersebut, 80 peratus adalah berpunca daripada kegagalan pihak kontraktor mematuhi pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) projek.

Justeru, beliau menggesa pihak kontraktor meningkatkan kepatuhan terhadap pengurusan KKP projek bagi mengelak daripada berlakunya kes kemalangan di tapak pembinaan.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Pengarah Operasi JKKP Sarawak Zamrudah Yeop dan Pengurus Projek Viva City Tan Beng Chong.

 

Print Email