Kesedaran kemalangan tempat kerja rendah

Kosmo! Online, 3 October 2012

KOTA BHARU — Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKPM) kini sedang berusaha meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap kemalangan di tempat kerja.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ir. Dr. Johari Basri berkata, walaupun sudah ada kesedaran dalam kalangan mereka tetapi usaha ke arah itu perlu ditingkatkan kerana masih banyak kemalangan di tempat kerja berlaku di seluruh negara.

"Sikap tidak mengambil berat tentang menjaga keselamatan dan kesihatan di tempat kerja menyebabkan kadar kemalangan di tempat kerja terus meningkat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan 2012 anjuran JKKPM peringkat Negeri di sini hari ini.

Dr. Johari kesal kerana ada pekerja yang tidak mengindahkan peraturan yang ditetapkan majikan ketika bekerja seperti pemakaian topi, jaket dan kasut keselamatan di kawasan kilang atau projek pembinaan.

Menurutnya, JKKPM sebagai peneraju kepada keselamatan dan kesihatan negara terus komited melaksanakan tiga tanggungjawab utama iaitu penyediaan standard, penguatkuasaan dan promosi bagi memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja sentiasa terjamin. — BERNAMA

Cetak