Basmi penagihan dadah di kalangan pekerja agenda utama Felda

Berita Harian Online, 26 September 2012

 

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Felda menerusi pelbagai agensi kerajaan akan meneruskan usaha membasmi dan menangani masalah penagihan dadah di kalangan pekerjanya dan peneroka.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, meskipun usaha itu semakin dilupakan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), namun ia masih menjadi agenda utama Felda.

"Nampaknya isu dadah ini semakin tidak mendapat perhatian bukan sahaja di kalangan NGO tetapi juga oleh pihak pembangkang. Apa yang menjadi perhatian pembangkang adalah membuat pelbagai cerita dongeng mengenai Felda sehingga lupa terhadap masalah dadah.

"Mungkin bagi pembangkang isu ini tidak wajar diberi perhatian kerana tiada jaminan undi daripada golongan penagih dadah," katanya pada sidang akhbar selepas majlis Penyerahan Polisi Menghindari Dadah dan AIDS Kumpulan Felda di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Presiden Kumpulan Felda Global, Datuk Sabri Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Datuk Ir. Johari Basri.

Felda merupakan syarikat ke-19 melaksanakan Koda Amalan Pencegahan dan Pembasmian Penyalahgunaan Dadah, Alkohol dan Bahan di Tempat Kerja (2004) dan syarikat ke-28 yang mempunyai Koda Amalan Pencegahan dan Pengurusan HIV/AIDS di Tempat Kerja (2001).

Beliau berkata, semua kakitangan tetap Felda bebas daripada masalah itu kecuali terdapat kes terpencil dalam kalangan pekerja kontrak.

"Bagaimanapun, masalah ini masih menular dalam kalangan peneroka dan keluarga mereka. Kita akan berusaha mengurangkan gejala itu, tetapi untuk berjanji mencapai sifar masalah dadah bukan mudah.

"Felda tidak boleh berjanji bila boleh menangani masalah ini. Perlu diingat janji hanya boleh dilakukan apabila kita mampu menepatinya," katanya.

Cetak