Maut tersepit ketika kerja bina landasan MRT

Berita Harian Online, 12 September 2012

news 12092012cOperasi menyelamat mangsa yang tersepit di projek landasan MRT di Bandar Kinrara, Puchong, semalam.

Kuala Lumpur: Seorang pekerja maut selepas tersepit pada mesin alat pembinaan landasan Transit Aliran Massa (MRT) di Bandar Kinrara, Puchong, tengah hari semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa, Muhamad Hanafi Abdullah, 23, dari Kedah dikatakan tersepit selama kira-kira satu jam, sebelum pekerja lain mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat. Penolong Pengarah Penguasa Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail, berkata pihaknya hanya dimaklumkan berhubung kejadian itu jam 12 tengah hari iaitu lebih sejam selepas kejadian berlaku.

“Sejurus anggota penyelamat tiba di lokasi kejadian, pihak kami berjaya menarik keluar dan menyelamatkan mangsa menggunakan jentera tangga putar (TTL) sebelum mengejarkannya ke Klinik 1Malaysia berdekatan namun mangsa disahkan sudah meninggal dunia.

Maklumkan kejadian dengan segera

“Orang ramai perlu memaklumkan sesuatu kejadian dengan segera kepada pasukan penyelamat bagi mengelak sesuatu lebih buruk berlaku,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Terkejut bunyi bising sebenarnya operasi menyelamat

Sementara itu, seorang pekerja swasta tidak menyangka bunyi bising di landasan projek MRT yang terletak bertentangan dengan dapur rumahnya sebenarnya operasi menyelamat pekerja tersepit.

Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Ida, 30 berkata, sebaik menjenguk keluar dari dapur rumahnya, dia ternampak sekumpulan pasukan bomba dan penyelamat sedang bertungkus lumus mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Saya dapat rakamkan sebahagian besar operasi menyelamat menggunakan telefon bimbit sehingga sebelum melihat pasukan paramedik memasang alat bantuan pernafasan dan menurunkan mangsa ke bawah dan mengejarkannya ke hospital,” katanya.

Cetak