Majikan disaran sedia peruntukan khas pekerja

Berita Harian, 29 April 2012

world osh 2012

SUBRAMANIAM dan Maznah melihat dua mesin hemodialisis pada Sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan Di Tempat Kerja 2012 di Muadzam Shah

ROMPIN: Majikan di negara ini disaran menyediakan peruntukan khas dalam sistem pengurusan mereka bagi melahirkan kesedaran mengenai aspek keselamatan dan kesihatan di kalangan pekerja.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata peruntukan khas seperti penganjuran seminar, kursus dan penyediaan peralatan kerja yang lebih sempurna wajar disediakan bagi meningkatkan ciri keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, sekali gus mengurangkan kadar kemalangan pekerja syarikat.

Beliau berkata, majikan perlu memberi penekanan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi menjamin pengurusan sumber manusia mampu meningkatkan produktiviti syarikat. “Amalan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dan pelaksanaan sistem pengurusan sudah terbukti dapat mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja.

“Jadi, saya berharap setiap majikan dapat mengkaji perkara ini dengan lebih mendalam demi keselamatan pekerja masingmasing,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan Di Tempat Kerja 2012 di Muadzam Shah dekat sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menterinya, Senator Datuk Maznah Mazlan dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan danKesihatan Pekerjaan (JKKP), Datuk Dr Johari Basri.

Pada majlis sama, Subramaniam turut menyampaikan dua mesin hemodialisis kepada Hospital Muadzam Shah bernilai RM38,000 setiap satu dan sumbangan kepada empat penerima faedah Pertubuhan Kebajikan Sosial (PERKESO).

Sementara itu, Subramaniam berkata, pihaknya sudah menjalankan 10,520 pemeriksaan di tempat kerja dan 146,580 jentera tahun lalu.

"Daripada jumlah itu, 6,261 notis dikeluarkan kerana kesalahan berkaitan keselamatan dan kesihatan, 234 dikenakan kompaun dan 183 kes didakwa.

Cetak