Breadcumb Caption
  • Sumber
  • Arkib
  • Arkib Berita
  • 2012
  • Beri kesedaran aspek keselamatan pekerja
Breadcumb Caption
  • Sumber
  • Arkib
  • Arkib Berita
  • 2012
  • Beri kesedaran aspek keselamatan pekerja

Beri kesedaran aspek keselamatan pekerja

Utusan Malaysia, 1 Mei 2012

ROMPIN 30 April - Majikan di negara ini disaran menyediakan peruntukan khas di dalam bajet syarikat sebagai usaha memberi kesedaran tentang aspek keselamatan dan kesihatan pekerja.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, peruntukan khas itu bertujuan menjalankan program kesedaran seperti seminar, kursus dan peralatan kerja yang sempurna sebagai usaha mengurangkan kadar kemalangan dalam kalangan pekerja mereka.

"Ia merupakan satu pelaburan yang menguntungkan kepada majikan. Syarikat mendapat untung melalui produktiviti tinggi serta penyelesaian masalah kedatangan pekerja," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan.

Subramaniam berharap majikan menyediakan persekitaran tempat kerja yang kondusif agar pekerja dapat menjalankan tugas dengan selesa, selamat dan sihat.

Dalam pada itu beliau berkata, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) menjalankan sebanyak 10,520 pemeriksaan ke atas tempat kerja pada tahun lalu.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 6,261 notis dikeluarkan, 234 kesalahan dikompaun dan 183 kes didakwa di mahkamah.

"Ia menunjukkan kerajaan amat komited dalam memastikan setiap keperluan undang-undang yang ditetapkan dipatuhi sepenuhnya oleh pihak terlibat," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai gaji minimum pekerja sektor swasta yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri Isnin ini, beliau berkata, selepas pengumuman tersebut, kerajaan akan membantu semua pihak termasuk pekerja dan majikan dalam proses pelaksanaannya supaya tidak menyusahkan mana-mana pihak.

"Ada majikan takut kesan ke atas perniagaan mereka, jadi ia satu perkara yang menjadi isu kedua-dua belah pihak. Kita akan tangani beberapa isu tertentu supaya tidak mendatangkan kesusahan kepada mereka," katanya.

Cetak Emel