Breadcumb Caption
  • Sumber
  • Arkib
  • Arkib Berita
  • 2012
  • Dua lagi pakej bina jejambat
Breadcumb Caption
  • Sumber
  • Arkib
  • Arkib Berita
  • 2012
  • Dua lagi pakej bina jejambat

Dua lagi pakej bina jejambat

Berita Harian, 14 April 2012

MRT Corporation (MRT Corp), pemilik dan pengendali My Rapid Transit (MRT) Lembah Klang dijangka menganugerahkan kontrak bagi dua lagi pakej pembinaan laluan jejambat bagi projek itu dalam tempoh terdekat.

Pengurus Besar Rakan Pelaksana Projek (PDP) MRT, MMC-Gamuda Sdn Bhd, Adil Putra Ahmad, berkata dua pakej itu adalah Pakej V1 dan V4 yang masing-masing membabitkan laluan jejambat dari stesen Sungai Buloh ke Kota Damansara dan Seksyen 16 ke Semantan. “Syarikat yang bakal memperoleh kontrak berkenaan akan diumumkan MRT Corp dalam tempoh terdekat,” katanya ketika sesi taklimat media mengenai pusat pameran keselamatan, kesihatan dan persekitaran (SHE) untuk MRT di Sungai Buloh, semalam.

Januari lalu, MRT Corp menganugerahkan kontrak Pakej V5 kepada IJM Corporation Bhd (IJM) dan Pakej V6 kepada Ahmad Zaki Sdn Bhd (AZSB), masing-masing membabitkan kerja membina dan menyiapkan laluan jejambat serta kerja berkaitan projek MRT dari stesen Maluri Portal ke Plaza Phoenix sepanjang 5.4 kilometer (km) bernilai RM974 juta dan dari stesen Plaza Phoenix ke Bandar Tun Hussein Onn sepanjang 5.24 km bernilai RM764.9 juta.

Adil Putra berkata, daripada semua lapan pakej untuk pembinaan laluan jejambat, tiga daripadanya iaitu V2, V3 dan V7 masih dalam proses tender manakala bagi Pakej V8 sedang dalam persediaan proses tender.

Sementara itu, penubuhan pusat pameran SHE bernilai RM1 juta di depoh pembinaan MRT Sungai Buloh itu adalah sebahagian inisiatif MMC-Gamuda dalam meningkatkan standard SHE kepada paras tertinggi berbanding yang diamalkan oleh industri pembinaan di negara ini.

Adil Putra berkata, tujuan utama penubuhan pusat pameran yang pertama seumpama itu di negara ini adalah untuk meningkatkan pemahaman pengurusan kanan, perunding, sub-kontraktor dan pekerja terbabit dengan projek MRT mengenai komponen utama SHE.

“Langkah interaktif dan berkesan ini membolehkan MMC-Gamuda menyampaikan komponen SHE lebih sistematik seperti mana ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Malaysia kepada kontraktor bagi membangunkan projek MRT,” katanya.

Pusat pameran SHE yang dibuka bermula September 2011 dibina di atas tapak berkeluasan 0.4 hektar daripada kawasan depoh MRT yang berkeluasan 71.6 hektar di Sungai Buloh.

Terdapat 26 komponen dalam SHE antaranya perancah; kaedah penggunaan jentera dan mesin; langkah perlindungan alam sekitar; langkah pencegahan terbaik alam sekitar dan pekerjaan serta usaha keselamatan.

Cetak Emel