Breadcumb Caption
    Breadcumb Caption

      Kualiti Udara Dalaman

      Tataamalan Kualiti Udara Dalaman telah diperkenalkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan pada tahun 2005 dengan tujuan untuk memberi garis panduan dan menetapkan standard minima dalam melindungi kesihatan pekerja dan juga penghuni sesuatu kawasan yang tertutup yang dilengkapi sistem pengalihudaraan mekanikal dan/atau penyaman udara. Tataamalan ini terpakai di semua tempat kerja bukan industri yang disenarai di bawah Jadual 1 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514). Pada tahun 2010, Jabatan telah memperkenalkan Tataamalan Industri Kualiti Udara Dalaman 2010 bagi meningkatkan pematuhan tempat kerja yang dimaksudkan.

      Aktiviti-aktiviti yang melibatkan isu-isu kualiti udara dalaman adalah melibatkan penyiasatan aduan yang diterima daripada pekerja. Prosedur melakukan aduan boleh dirujuk di dalam Tataamalan Industri Kualiti Udara Dalaman 2010. Proses melakukan siasatan biasanya melibatkan 5 aktiviti utama iaitu lawatan awal tempat aduan, pengukuran paras kontamina yang terkandung di tempat aduan, penganalisian data, perbincangan dengan majikan dan pengeluaran laporan.

      Selain itu, kajian bersama agensi-agensi kerajaan mahupun bukan kerajaan juga turut dijalankan. Kebiasaannya, penglibatan JKKP adalah menghulurkan kepakaran dalam pengendalian peralatan pengukuran dan juga menganalisis data yang telah dimuat turun hasil daripada pengukuran yang dijalankan.

      Bagi menambah bilangan kepakaran di kalangan pegawai JKKP khususnya pegawai daripada Seksyen Industri Higien, latihan pengendalian peralatan kualiti udara dalaman juga diberikan. Latihan ini melibatkan pengajaran secara teori dan juga praktikal diterapkan bagi memberi pengajaran yang berkesan kepada pegawai.

      Cetak Emel