Breadcumb Caption
Breadcumb Caption

146 kes kemalangan di tempat kerja - Utusan Online

Utusan Online, 18 Oktober 2015

news uo 19102015
 

KUALA TERENGGANU 18 Okt. – Sebanyak 146 kes kemalangan di tempat kerja dilaporkan berlaku di Terengganu dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini dengan sebahagian besarnya melibatkan sektor pengilangan yang mencatatkan 75 kes.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri, Ir. Dasuki Mohd. Heak berkata, ini diikuti oleh sektor pertanian, perhutanan dan perikanan dengan 33 kes, perdagangan borong dan runcit serta perkhidmatan awam dan pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing dengan lapan kes dan sektor pembinaan dengan enam kes.

Beliau berkata, sektor lain terlibat ialah sektor kemudahan, hotel dan restoran iaitu masing-masing dengan lima kes dan sektor pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi serta sektor kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan dengan tiga kes.

“Daripada jumlah itu, tiga kes maut dilaporkan iaitu dua dalam sektor pengilangan dan satu sektor pembinaan, manakala satu kes direkodkan untuk hilang upaya kekal (HUK) iaitu bagi sektor pengilangan serta 136 kes lagi dicatatkan untuk tidak hilang upaya kekal (THUK) yang melibatkan semua sektor kecuali perlombongan dan kuari.

"Pada tahun ini, kadar kemalangan di tempat kerja di Terengganu semakin menurun disebabkan beberapa langkah pencegahan yang diambil khususnya daripada pihak majikan sendiri,” katanya di sini kelmarin.

Menurut beliau, sepanjang tahun lepas, iaitu Januari hingga Disember, sebanyak 214 laporan kemalangan di tempat kerja, lebih rendah berbanding tahun sebelumnya iaitu melibatkan 231 kes.

“Sebenarnya, sejak Julai lalu, jumlah aduan semakin berkurangan jika dibandingkan dengan tempoh sama untuk dua tahun sebelumnya.

“Justeru, saya yakin jumlah kes laporan kemalangan di tempat kerja sepanjang tahun ini terus menurun sehingga hujung tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dusuki memberitahu, dalam satu perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kemaman baru-baru ini, seorang majikan didapati bersalah kerana menyebabkan kematian pekerjanya yang terjatuh dari perancah ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan paip pada 8 Julai dua tahun lalu.

Sehubungan itu, katanya, majikan tersebut didenda RM30,000 atau 15 bulan penjara kerana gagal menimbulkan prima facie atau bukti munasabah terhadap pertuduhan tersebut.

 

Print Email