Breadcumb Caption
Breadcumb Caption

Gudang bahan toksik Kualiti Alam terbakar - Utusan Online

Utusan Online, 28 Februari 2015

 

news 28022015 uo

 Keadaan gudang yang menempatkan sisa toksik tebakar di Pusat Kualiti Alam, Sendayan, Seremban, semalam.

 

SEREMBAN 27 Feb. – Gudang pengumpulan bahan sisa toksik dalam kawasan pusat Kualiti Alam Sdn. Bhd., dekat sini hari ini terbakar menyebabkan asap hitam dan tebal boleh dilihat pada jarak lebih lima kilometer.

Kejadian yang dipercayai berpunca daripada cuaca panas telah menyebabkan percikan api terbentuk dan mengakibatkan tiga daripada empat gudang terbabit terbakar.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Norazam Khamis berkata, kebakaran itu mula tercetus di kawasan terbuka di salah satu gudang penerimaan bahan sisa dan terus merebak ke gudang yang mengumpul sisa cat serta bahan kimia.

“Keseluruhan kawasan pusat kumpul bahan kimia ini adalah seluas satu hektar dan hanya sebahagiannya terjejas dalam kebakaran,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Jaafar Mohd. Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Kualiti Alam Sdn. Bhd., Khalid Bahsoon.

Beliau berkata, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.41 tengah hari dan tiba beberapa minit kemudian bersama jentera Unit Bahan Berbahaya (Hazmat), empat jentera bomba, dua jentera tangki, satu kenderaan Perkhidmatan Perawatan Kecemasan (EMS) selain jentera foam tender dari Telok Kemang.

Menurutnya, api dapat dikawal dalam tempoh dua jam dan tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Semasa operasi pemadaman dilakukan berlaku beberapa letupan kerana tindak balas daripada pancutan air. Ketika ini kerja memunggah dan membersihkan kawasan terjejas sedang dilakukan oleh anggota bomba bersama unit kecemasan dan kebakaran Kualiti Alam.

“Pada waktu kebakaran memun­cak tengah hari tadi, kita telah mengeluarkan arahan kepada orang ramai termasuklah di kawasan sekolah, kilang dan berdekatan kerana pada waktu itu asap terlalu tebal dan kandungan udara mengandu­ngi kadar toksik yang tinggi.

“Kawasan pusat Kualiti Alam itu berada pada kedudukan yang tinggi maka asap berkenaan dikhuatiri menjejaskan keselamatan orang ramai. Pengosongan kawasan dibuat sehingga jarak satu kilometer,” ujarnya.

Kata Norazam, berdasarkan situa­si terkini sehingga pukul 7 malam, indeks udara di sekitar kawasan kebakaran itu bertambah baik dan tiada arahan baharu dibuat untuk membolehkan orang ramai mengosongkan kawasan terdekat.

“Kita menasihatkan orang ramai agar jangan panik dengan situasi ini kerana semuanya terkawal,” ujarnya.

 

Cetak Emel