Breadcumb Caption
Breadcumb Caption

Tiga pekerja parah, pencawang TNB meletup - Utusan Online

Utusan Online, 24 Februari 2015

 

news 25022015 uo

 ANGGOTA bomba membawa seorang pekerja TNB (tengah) yang cedera parah akibat terkena renjatan elektrik voltan tinggi ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, semalam.

 

KUALA LUMPUR 24 Feb. – Demi keselesaan pengguna, mereka rela bertarung nyawa.

TBegitulah yang terjadi kepada tiga pekerja Tenaga Nasional Bhd. (TNB) yang cedera parah akibat ter­kena renjatan elektrik voltan tinggi ketika mereka sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di dalam rumah pencawang berhampiran Kondominium Sri Jati 2, Jalan Klang Lama di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Mohd. Rozairi, 30-an, Mohd. Zaidi, 35, dan Norizan, 58, melecur hampir 80 peratus pada badan masing-masing setelah komponen di dalam rumah pencawang itu meletup lalu menyambar mangsa.

Ketua Balai Bomba Bukit Jalil, Jalailudin Abdul Mubin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.55 malam dan tiba ke lokasi kira-kira 10 minit kemudian.

“Ketika bomba tiba di lokasi, kesemua mangsa sudah dibawa keluar dari rumah pencawang itu oleh rakan-rakan mereka.

“Kejadian itu berpunca daripada komponen di dalam rumah pencawang itu meletup lalu menyebabkan api menyambar mang­sa hingga mengakibatkan pakaian mereka koyak rabak serta kulit melecur teruk,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Jalailudin, kesemua mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan ambulans untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, pencawang tersebut mengagihkan bekalan elektrik ke kawasan rumah kedai di sekitar lokasi kejadian.

Sementara itu, seorang rakan kepada Mohd. Rozairi yang enggan dikenali berkata, keadaan Mohd. Rozairi agak kritikal berbanding dua lagi rakannya.

Menurutnya, hanya Mohd. Rozairi masih menerima rawatan di Unit Kecemasan PPUM manakala dua rakannya telah ditukarkan ke Pusat Perubatan Prince Court untuk rawatan lanjut.

“Rozairi terbakar hampir 90 peratus di bahagian muka dan masih tidak sedarkan diri.

“Beliau telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak yang berusia dua sehingga tujuh tahun. Selain itu, isterinya juga kini sedang mengandung empat bulan, anak keempat mereka,” katanya ketika ditemui di PPUM di sini hari ini.

Dalam pada itu, isteri mangsa dan ahli keluarga lain yang turut berada di PPUM bagaimana enggan mengulas lanjut kerana masih dalam keadaan terkejut.

Print Email