Breadcumb Caption
Breadcumb Caption

NIOSH, SEMA Jalin Kerjasama - MyMetro

MyMetro, 25 Februari 2015

Bangi: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), menjalin usaha sama dengan Samsung Electronics (M) Sdn Bhd (SEMA) bagi mewujudkan hab ergonomik untuk industri pembuatan di Malaysia.

Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kerjasama itu membabitkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan berkaitan ergonomik, sekali gus menyediakan garis panduan yang bersesuaian diaplikasikan dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerja (KKP).

Ergonomik bidang baru di Malaysia jika dibandingkan dengan negara maju seperti Jepun, Amerika, Britain dan Kanada.

“Ergonomik salah satu aspek penting dalam bidang KKP yang perlu dipertingkatkan bagi mewujudkan persekitaran kerja yang selamat. Menerusi kerjasama ini, kami yakin ia dapat menghasilkan peralatan yang dapat membantu persekitaran selamat bagi pekerja.

“Kedua-dua pihak akan mengenal pasti, seterusnya membangunkan program berkaitan ergonomik sedia ada selaras dengan keperluan SEMA,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengeluaran SEMA, Zulkifli Marsidi berkata, MoU itu adalah yang pertama antara NIOSH dan SEMA bagi tempoh tiga tahun.

Menurutnya, untuk fasa permulaan pihaknya mengumpulkan data yang boleh diguna pakai untuk pelaksanaan penyelidikan terbabit dan seterusnya hingga ke fasa pengeluaran peralatan yang bersesuaian.


news 25022015 hm
LEE (dua dari kiri) pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman, semalam

 

 

Cetak Emel