Breadcumb Caption
Breadcumb Caption

Pemandu lori kontraktor SWM maut dihempap besi kren

news 25092014b uo
Anggota bomba dan penyelamat serta polis mengangkat mangsa yang maut dihempap kren semasa kerja memunggah sampah di Melaka, semalam. - UTUSAN/Azli Ahad

Utusan Online, 25 September 2014

MELAKA 24 Sept. - Kerja-kerja pembinaan tambahan panggung wayang di sebuah kompleks membeli-belah di Banda Hilir di sini diberhentikan serta-merta selepas seorang pemandu lori mengangkut sampah maut dihempap besi kren awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.35 pagi itu, mangsa, Anas Tawi,

55, yang merupakan pemandu lori kontraktor SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM), Polycon Environment Sdn. Bhd. tidak sempat melarikan diri sebelum dihempap oleh besi kren sebarat 25 tan yang digunakan menjalankan kerja pemindahkan sebuah pam konkrit.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman berkata, kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) untuk menjalankan siasatan serta menghalang sebarang kerja pembinaan dilakukan sebelum laporan diperolehi.

"Ini pertama kali kejadian yang melibatkan mangsa yang bukan daripada pekerja binaan, mangsa sedang mengangkat sampah di bahagian belakang bangunan ini tetapi maut akibat dihempap besi kren.

"Apa yang saya hairan, mengapa kerja binaan dijalankan seawal pukul 5 pagi sedangkan dalam undang-undang pembinaan kerja hanya boleh dilakukan antara pukul 8 pagi hingga 5 petang sahaja dan sekiranya mereka perlukan masa tambahan mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) terlebih dahulu.

"Bagi saya tiada sebab mereka perlu mulakan kerja seawal pagi berikutan tahap penglihatan yang terhad, oleh kerana kren berada di bahagian tapak bina manakala lori di sebelah luar, pemandu kren tidak nampak apa yang ada di sebelah kerana terlindung dengan bumbung pejalan kaki," katanya demikian kepada pemberita ketika melawat tapak kejadian hari ini.

Menurut Ismail, kerja-kerja pembinaan tambahan panggung wayang itu mendapat kelulusan PBT sejak Jun lalu dan mengambil masa pembinaan kira-kira dua bulan.

Katanya, kerja-kerja pembinaan itu berkemungkinan dihentikan selama sebulan bagi membolehkan DOSH menjalankan siasatan terhadap punca kejadian serta mengeluarkan laporan.Dalam pada itu, Pengarah DOSH negeri, Jaafar Leman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan punca kejadian disebabkan kren tersebut mengangkat barangan yang terlebih muatan dan ketidakstabilan tapak.

"Kita akan menyiasat secara terperinci tentang kejadian ini di bawah dua akta iaitu Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 dan Akta Kilang dan Jentera 1997," katanya.

Print Email