Breadcumb Caption
Breadcumb Caption

Mayat dua pekerja asing ditemui

Utusan Online, 9 September 2014

KUANTAN 8 Sept. - Dua pekerja asing ditemui mati tertimbus manakala seorang lagi masih belum dapat dikeluarkan dalam kejadian runtuhan batu di kuari Bukit Sagu 4 dekat Panching, di sini petang ini.

Mangsa yang maut ialah warga Indonesia, Rudi Hartono, 30, dan warganegara Myanmar, Than Naing Soe, 25, manakala yang belum ditemui adalah Cecep Rubiyanto, 22, (warga Indonesia).

Mayat pertama ditemui pukul 7 petang manakala mayat kedua pukul 9.20 malam.

Menurut sumber, kejadian tersebut berlaku apabila dua pekerja kuari tersebut sedang dalam perjalanan turun dari bukit batu kuari berkenaan.

"Mereka bagaimanapun berpatah balik kerana tertinggal barang dan ketika itu, runtuhan berlaku. Seorang pemandu jentera pengorek yang berada di bawah bukit terjun keluar dari jenteranya untuk menyelamatkan diri, malangnya dia turut tertimbus," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kawasan kejadian malam ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 5 petang.

"Sebaik menerima laporan, polis bersama pasukan penyelamat yang terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri bergegas ke lokasi kejadian bagi mengesan pekerja asing yang dipercayai warga Myanmar dan Indonesia," katanya.

 

Print Email