KESELAMATAN dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) atau keselamatan di tempat kerja adalah satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan atau diambil mudah.

Berkali-kali telah terbukti bahawa kegagalan untuk menerapkan dan melaksanakan peraturan dan prosedur keselamatan akan memudaratkan mereka yang berada di tempat kerja.

Kemalangan maut yang berlaku di tapak projek Transit Aliran Massa (MRT) di Kota Damansara, baru-baru ini yang mengorbankan tiga nyawa jelas menunjukkan kelalaian dalam pelaksanaan prosedur keselamatan di tempat kerja.

Malah, insiden terbaru di mana sebanyak 12 daripada 16 tetulang konkrit projek pembinaan MRT terjatuh dari sebuah treler di Jalan Cheras, Kuala Lumpur juga menyebabkan orang awam dalam ketakutan dan bimbang apabila terfikir akan keselamatan mereka semasa di jalan raya.

Orang awam menjadi semakin was-was serta risau setiap kali mereka melepasi tapak pembinaan MRT.

Maka, sudah tiba masanya bagi syarikat berkenaan mengkaji semula semua aspek keselamatan di tapak pembinaan dan melancarkan kempen besar-besaran untuk mengembalikan keyakinan orang awam terhadap keselamatan operasi dan aktiviti pembinaan.

Perkara ini bukan sahaja penting di tapak kerja MRT tetapi di semua tapak pembinaan awam yang lain di mana keselamatan perlu diberi perhatian dan keutamaan.

Sebenarnya, isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan adalah terlalu penting untuk diabaikan. Mengabaikannya bererti mengundang kemalangan. Pelaburan untuk keselamatan dan kesihatan di tempat kerja adalah pelaburan yang berbaloi dan penyebaran maklumat OSH melalui media masa akan membantu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keselamatan pekerjaan dan mengelak kemalangan di tempat kerja.

Pihak media massa boleh memainkan peranan yang penting di dalam meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Kesannya, boleh menyebabkan industri, majikan dan pekerja menjadi lebih prihatin terhadap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Ini akan mengurangkan berlakunya kemalangan dan kecederaan di tempat kerja.

Pihak majikan seharusnya melaksanakan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi mengelakkan kejadian kemalangan atau penyakit pekerjaan dari berlaku di tempat kerja. Kejadian kemalangan mencerminkan ketidaksempurnaan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan ia perlu diperbaiki.

Tanggungjawab OSH ini harus dipikul bersama oleh mereka yang mewujudkan sesuatu risiko (iaitu majikan) dan juga mereka yang perlu bekerja dengan risiko tersebut (iaitu pekerja).

Industri dan majikan harus menyedari tentang empat faktor utama dalam usaha untuk menguruskan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja iaitu tanggungjawab korporat; memenuhi kehendak sosial dan moral; prinsip dagangan yang baik dan keperluan perundangan.

Pengurusan OSH yang cekap bukan sahaja mengurangkan risiko kepada keselamatan dan kesihatan tetapi juga memastikan pulangan yang tinggi kepada syarikat dan meningkatkan produktiviti.

Latihan dan pendidikan juga adalah elemen utama dalam pengurusan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja kerana ia boleh menyumbang kepada peningkatan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Pihak majikan harus bersedia untuk melabur di dalam keselamatan pekerjaan manakala pekerja harus bersedia untuk mengamalkannya. Syarikat perlu menyediakan bajet tahunan untuk latihan keselamatan bagi membendung kemalangan di tempat kerja.

Jelas bahawa aset yang paling berharga dalam sesebuah organisasi adalah mereka yang bekerja di dalamnya dan mereka yang menjayakannya.

Aspek keselamatan dan kebajikan dalam tenaga sumber manusia ini harus diberikan perhatian utama oleh majikan dan ia adalah keperluan asas dalam membentuk dan memastikan kompetensi dan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.

Di Malaysia, tahap kesedaran mengenai OSH telah meningkat dari setahun ke setahun. Majikan dan pekerja harus mengetahui peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan hazad di tempat kerja dapat dikenalpasti, ditaksir dan dikawal.

Walaupun terdapat peningkatan kesedaran mengenai keperluan untuk meningkatkan tahap keselamatan di persekitaran tempat kerja, namun hanya komitmen yang berterusan di dalam sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan sahaja yang dapat membantu membentuk budaya keselamatan dan kesihatan dalam sesebuah organisasi.

Negara kita telah memperkenalkan pelbagai akta dan peraturan berkaitan OSH dalam melindungi kebajikan tenaga kerja kita. Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) diperkenalkan pada 1994 dan tertakluk kepada falsafah peraturan kendiri. Ini meletakkan tanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja oleh majikan mereka.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (NIOSH)