KUALA LUMPUR 21 Ogos - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kesal dengan kontraktor projek pembinaan landasan Transit Aliran Massa (MRT) di Kota Damansara di sini yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pemasangan landasan sehingga meragut nyawa tiga pekerja.

Ini berikutan kenyataan yang dibuat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sebelum ini bahawa siasatan mendapati ketika kejadian, tiada pengawasan oleh jurutera atau penyelia terhadap pemasangan tembok penghadang (parapet) di landasan tersebut.

"Pihak yang bertanggungjawab perlu tampil ke hadapan bagi memberi keadilan sewajarnya. Ini bukanlah satu perkara baharu tetapi kerap terjadi sejak kebelakangan ini.

"Peristiwa ini perlu dijadikan iktibar supaya segala amalan dan penguatkuasaan undang-undang dipatuhi. Peraturan keselamatan di tempat kerja pembinaan mesti difahami termasuk cara berkomunikasi antara pihak yang terlibat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang serta peraturan tidak seharusnya dipandang ringan kerana boleh menyebabkan kehilangan nyawa.

Katanya, tindakan Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.), Datuk Azhar Abdul Hamid meletak jawatan bukanlah satu penyelesaian sebaliknya semua pihak termasuk kontraktor utama, subkontraktor, pemilik projek MRT Corp., dan kementerian terlibat perlu bekerjasama mencari penyelesaian supaya insiden tersebut tidak berulang.

"MTUC menegaskan bahawa pematuhan dan pelaksanaan undang-undang adalah amat penting di kawasan tempat kerja kerana melibatkan keselamatan dan nyawa pekerja sama ada pekerja tempatan, asing atau orang awam," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris pula menggesa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan agensi bertanggungjawab segera melaksanakan satu standard perlindungan runtuhan membabitkan pekerja dan peralatan berkaitan dalam melindungi mereka daripada sebarang risiko.

"Langkah ini perlu kerana kemalangan akibat kejadian runtuh di tapak kerja semakin meningkat, pihak kami menggesa DOSH untuk melaksanakan standard perlindungan.

"Sebagai contoh, majikan dan pekerja perlu mematuhi prosedur kerja selamat, melatih pekerja memilih, mengguna dan menyelenggara semua sistem perlindungan dengan betul, menggunakan sistem pemasangan keselamatan dan pembinaan sesuai serta menyelia pekerja dengan baik," katanya.

Katanya, DOSH perlu campur tangan dengan mendakwa mana-mana majikan mengikut undang-undang sekiranya didapati mengabaikan tanggungjawab mereka dalam isu keselamatan pekerja.

"Kami ingin tahu sama ada penggunaan jek untuk menyokong muatan berlebihan pada struktur konkrit itu adalah sesuai ketika kerja-kerja pembinaan sedang berlaku. Jek dan tiang mesti diletakkan pada kedudukan betul supaya muatan tidak melebihi kapasiti ditetapkan oleh jek tersebut," katanya.