news 22082014
Mohamad Jais Suratman (kanan sekali) meninjau tahap keselamatan tapak binaan kompleks komersial dua tingkat berserta tempat letak kereta di atas bumbung di Mukim Pumpong, Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.

ALOR SETAR 21 Ogos - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) negeri menyarankan majikan agar melakukan beberapa penambahbaikan di tapak pembinaan bagi memastikan kemalangan di kawasan berkenaan dapat dikurangkan.

Pengarahnya, Mohamad Jais Suratman berkata, tinjauan yang dilakukan pihaknya di beberapa kawasan tapak pembinaan di negeri ini mendapati masih terdapat pemaju yang tidak meletakkan papan tanda keselamatan.

"Pekerja di tapak bina perlu diingatkan supaya sentiasa mementingkan keselamatan di tempat kerja kerana pelbagai kemalangan boleh berlaku di situ.

"Sepatutnya majikan meletakkan papan tanda peringatan tentang keselamatan di kawasan tapak bina agar pekerja lebih berhati-hati ketika menjalankan tugas dan mengelak terjadinya kemalangan,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan sebuah kompleks komersial dua tingkat berserta tempat letak kereta di atas bumbung di Seksyen 53, Mukim Pumpong di sini kelmarin.

Menurut Mohamad Jais, dari Januari hingga Julai tahun ini, sebanyak 129 tapak pembinaan di seluruh negeri telah didaftarkan iaitu 92 peratus adalah projek swasta manakala selebihnya melibatkan projek kerajaan.

"Dalam tempoh itu, sebanyak 251 tapak bina termasuk yang didaftarkan pada 2012 dan 2013 telah diperiksa dan hasil daripada pemeriksaan itu mendapati 44 peratus tapak bina adalah dalam kategori gred A.

"Sebanyak 25 peratus lagi dalam gred B, 13 peratus (gred C) dan 18 peratus (gred D)," jelasnya.

Tambahnya, dalam tempoh itu, sebanyak 80 kes kemalangan tidak hilang upaya kekal dan dua kes untuk hilang upaya kekal dua kes kematian dilaporkan.

"Kes untuk tidak hilang upaya kekal berkurang sebanyak 14 peratus, hilang upaya kekal pula menurun kepada 50 peratus manakala kes kematian kekal bagi tempoh sama untuk tahun 2013," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Jais memberitahu, 20 peratus tapak pembinaan di sekitar Alor Setar dan Kubang Pasu telah dikenal pasti berisiko sebagai tempat pembiakan nyamuk aedes.

"Tindakan telah dibuat dengan mengeluarkan 32 surat arahan dan satu notis atas pelbagai kesalahan kepada majikan dan operasi pelan tindakan denggi juga telah dijalankan di kawasan terbabit," katanya.