Breadcumb Caption
Breadcumb Caption

DOSH kenal pasti punca kes tertusuk kayu di dahi

Utusan Online, 8 Julai 2014

SEREMBAN 8 Julai - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) negeri telah mengenal pasti punca sebenar kejadian yang mengakibatkan seorang pekerja warga Nepal cedera selepas kepalanya ditembusi serpihan kayu di sebuah kilang papan di Gemas, dekat sini semalam.

Pengarahnya, Ahmad Kahar Abu Bakar berkata, siasatan awal mendapati mesin yang digunakan tidak mempunyai aspek penampan (pagar) mencukupi sehingga membolehkan sisa kayu daripada mesin berkenaan terpelanting mengenai mangsa.

"Berdasarkan laporan, semasa kejadian mangsa dikatakan sedang memasukkan kayu sepanjang 3.6 meter ke dalam mesin jenis `ripsaw' yang bertujuan melicinkan permukaan kayu.

"Namun ketika memasukkan kayu berkenaan, sisa kayu yang terdapat di dalam mesin berkenaan tiba-tiba terpelanting dan tertusuk di bahagian kanan dahi mangsa,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jelasnya, sekiranya aspek penampan pada mesin berkenaan mencukupi, insiden sedemikian mungkin tidak akan menimpa mangsa.

"Buat masa ini, kita telah mengarahkan pihak kilang menghentikan operasi mesin berkenaan buat sementara waktu bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan,'' katanya.

Ditanya sama ada kilang berkenaan bakal berhadapan sebarang tindakan, Ahmad Kahar memberitahu, sekiranya bukti mencukupi, mereka boleh didakwa di bawah Akta Kilang dan Jentera 1967.

"Pemilik kilang ini boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau satu tahun penjara jika disabit kesalahan,'' ujarnya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan seorang lelaki warga Nepal terpaksa menanggung kesakitan lebih sejam selepas dahinya tertusuk serpihan kayu di sebuah kilang papan dekat Gemas.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.25 pagi itu, mangsa, Vasantha Limbu, 30, sedang memotong kayu menggunakan mesin sebelum serpihan kayu berukuran kira-kira satu meter terpelanting dan tertusuk sehingga menembusi dahi kanannya.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Gemas untuk menerima rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Segamat.

Print Email