Breadcumb Caption
Breadcumb Caption

Pertingkat aspek keselamatan, kesihatan

Utusan Online, 11 April 2014

 news 11042014

ASPEK keselamatan dan kesihatan pekerja amat penting dalam projek MRT Sungai Buloh-Kajang kerana tapak pembinaan bagi projek tersebut terletak berhampiran dengan kawasan perumahan, lot-lot kedai dan jalan -jalan utama.

KUALA LUMPUR 10 April - Seramai 6,500 pekerja di 30 tapak Projek laluan Transit Berkapasiti Tinggi (MRT) Sungai Buloh -Kajang akan menyertai program penilaian keselamatan dan kualiti anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dengan kerjasama MRT Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.) bagi meningkatkan aspek keselamatan dan kesihatan dalam pekerjaan.

Pengarah CIDB Selangor, Mohd. Zaid Zakaria berkata, program dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu dijalankan bagi memastikan tiada sebarang insiden berlaku melibatkan kedua-dua aspek akibat kecuaian.

"Kejadian seumpama itu mampu memberikan kesan negatif terhadap organisasi dan imej industri pembinaan keseluruhannya dan CIDB sentiasa memantau isu-isu berkaitan keselamatan khususnya projek pembinaan di Selangor.

"Antara program yang ditawarkan termasuklah Kursus Induksi Keselamatan untuk Pekerja Binaan-Kursus Kad Hijau CIDB, Kursus Penyeliaan Keselamatan, Kursus Bekerja di Tempat Tinggi dan Kursus kemahiran berkaitan pemasangan perancah serta operasi kren," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai Program Meningkatkan Tahap Keselamatan Bagi Projek Pembinaan Mass Rapid Transit Lembah Klang (KVMRT) di Kompleks Pekerja MRT Pakej V1, di Sungai Buloh, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JKKP Selangor, Zahrim Osman, Timbalan Pengarah Jabatan Bangunan MBSA, Noraidah Basri dan Timbalan Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBPJ, Abdul Shukur Mohamed Noor.

Sementara itu, Pengarah Piawaian dan Pematuhan MRT Corp., Syed Mahdhar Syed Hussain berkata, isu keselamatan dan kesihatan amat penting dalam projek MRT kerana tapak pembinaan bagi projek tersebut terletak berdekatan dengan kawasan perumahan, lot-lot kedai dan jalan-jalan utama.

"Oleh itu kita sedaya upaya memastikan sebarang insiden tidak diingini berlaku kepada orang awam.

"Kita juga mahu keselamatan pekerja terjamin, lebih-lebih lagi kebanyakan mereka terdiri daripada pekerja asing dan kita mahu mereka pulang ke negara asal dalam keadaan selamat,"katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Zaid berkata, operasi penguatkuasaan CIDB di tapak pembinaan MRT baru-baru ini mendapati hampir 85 peratus daripada jumlah pekerja binaan terbabit mempunyai kad pendaftaran pekerja binaan atau kad hijau CIDB yang sah.

"Peratusan pematuhan ini adalah yang terbaik setakat ini berbanding tahap pematuhan kad hijau ditapak binaan lain yang secara umumnya berada pada tahap 52 peratus, berdasarkan hasil operasi penguatkuasaan CIDB 2013," ujarnya.

 

 

Print Email