Breadcumb Caption
  • Keselamatan Tapak Bina
  • Petunjuk Prestasi SHO
Breadcumb Caption
  • Keselamatan Tapak Bina
  • Petunjuk Prestasi SHO

Petunjuk Prestasi SHO

Penglibatan Industri dalam Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP)

1.   Umumnya, semua pihak yang terlibat dalam sesebuah projek pembinaan haruslah bekerjasama dan bantu membantu dalam menangani bahaya-bahaya yang terbit daripada aktiviti dan mematuhi kehendak perundangan yang telah ditetapkan. Bergantung kepada jenis kontrak, klien, pereka dan pembina merupakan tiga pihak utama di sesebuah projek pembinaan.

2.   Syarikat pembina yang dilantik oleh klien, yang mempunyai kawalan semasa fasa pembinaan haruslah merancang, mengurus, memantau dan menyelaras kerja-kerja pembinaan. Sebagai majikan, pembina juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kerja pembinaan dijalankan dengan cara yang menjamin keselamatan dan kesihatan pekerjanya dan orang lain, termasuk orang awam.

 

Merujuk dan menglibatkan pekerja

3.   Tempat kerja yang pekerjanya dirujuk dan dilibatkan dalam membuat keputusan tentang langkah-langkah keselamatan dan kesihatan adalah lebih selamat dan lebih sihat. Perundingan tentang keselamatan dan kesihatan bersifat dua hala. Ia melibatkan penyampaian maklumat kepada pekerja, mendengar pandangan mereka dan mengambil kira apa yang mereka katakan sebelum keputusan dibuat oleh majikan. Sebagai contoh, mengadakan mesyuarat sebelum kerja bermula untuk membincangkan kerja yang dirancang untuk hari itu, mengenal pasti risiko dan menyetujui langkah-langkah kawalan yang wajar yang telah disediakan oleh majikan. Melibatkan pekerja akan membantu majikan mengurus keselamatan dengan cara yang praktikal:

  1. membantu mengenalpasti risiko tempat kerja dan mengetahui apa yang diperlukan untuk mengawalnya;
  2. memastikan kawalan keselamatan dan kesihatan adalah sesuai; dan
  3. meningkatkan tahap komitmen untuk bekerja dengan cara selamat dan sihat.

4.   Perundingan merupakan kehendak undang-undang. Pekerja hendaklah dirujuk pada masa yang sesuai. Peraturan-peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan) dan Peraturan-peraturan Kilang dan Jentera (Operasi Bangunan dan Kerja Pembinaan Kejuruteraan) (Keselamatan) menghendaki majikan merujuk pekerjanya dan subkontraktor mereka tentang keselamatan dan kesihatan, sama ada secara langsung dengan pekerja atau wakil yang dipilih.

 

Tanggungjawab Pegawai Keselamatan dan Kesihatan

5.   Bagi membantu majikan menjalankan tanggungjawab perundangan ini, pegawai keselamatan dan kesihatan (SHO) diwujudkan oleh Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP). Amnya, seseorang SHO hendaklah menjalankan memastikan pematuhan dan menggalakkan penjalanan kerja yang selamat. Tanggungjawab-tanggungjawab SHO yang khusus dinyatakan di dalam Peraturan-peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan).

6.   SHO dapat memberi khidmat nasihat kepada majikannya supaya hasrat melindungi pekerja daripada bahaya-bahaya kerja pembinaan tercapai. SHO mempunyai pengetahuan yang khusus dalam aspek:

  1. perundangan KKP;
  2. pentaksiran risiko pekerjaan;
  3. penyediaan prosedur operasi selamat;
  4. pemantauan keberkesanan langkah-langkah kawalan;
  5. penggalakan penglibatan pekerja; dan
  6. penambahbaikan yang berterusan dalam memastikan pematuhan yang lestari terhadap perundangan KKP.

Perlantikan seseorang SHO adalah digalakkan di kalangan syarikat-syarikat klien dan pereka, tetapi wajib kepada pembina jika kerja pembinaan mempunyai jumlah harga kontrak projek melebihi RM20 juta.

 

Petunjuk Prestasi SHO

7.  Petunjuk Prestasi SHO ini dibuat bagi membantu SHO dan majikan melaksanakan tanggungjawab perundangan yang telah ditetapkan. Petunjuk prestasi merupakan petunjuk utama (leading indicators) terhadap:

  1. komitmen majikan;
  2. pematuhan undang-undang;;
  3. penglibatan pekerja; dan
  4. keberkesanan langkah-langkah kawalan yang diwujudkan di tempat kerja.

8.   Ianya dibangunkan dengan merujuk kepada kehendak-kehendak peraturan SHO. Penggunaan laporan ini dapat membantu majikan memastikan usaha yang berterusan dan sistematik dibuat dalam mengawal semua bahaya yang boleh memudaratkan pekerjanya dan orang lain. Kepada SHO, penggunaan laporan ini membuktikan bahawa dia telah buat secukupnya untuk mematuhi kehendak perundangan.

 

Apa Yang SHO Perlu Lakukan

9.  SHO haruslah mengisi jumlah petunjuk yang dicapai bagi setiap prestasi pada sesuatu bulan, kecuali Jumlah Notis yang Diterima (item 23 – 25).  Jumlah notis hendaklah menunjukkan jumlah keseluruhan notis yang diterima sepanjang tempoh projek itu dijalankan.

10.   Pengurus Projek, selaku wakil utama majikan di sesebuah projek pembinaan haruslah memastikan SHO melengkapkan laporan ini atas talian.

 

Apa Yang JKKP Lakukan

11.  Keperluan bagi mengisi dan menghantar laporan ini akan dimaklumkan kepada semua majikan dan SHO semasa proses pendaftaran tapak pembinaan, pemantapan JKJ 103 dan aktiviti-aktiviti promosi. Bagi projek yang sedang berjalan, makluman boleh dibuat semasa pemeriksaan tapak dibuat oleh Pegawai SKB.

12.  Pegawai SKB haruslah menyemak dan merekodkan jumlah ini ke dalam rekod pemantauan statistik KKP industri pembinaan negeri untuk dilaporkan ke BKTB setiap bulan. Maklumat-maklumat yang dilaporkan boleh dijadikan panduan semasa membuat keputusan untuk mengadakan pemeriksaan dan penguatkuasaan.

 

Peringatan

13.  Peraturan 12, Peraturan-peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan) 1997 menyatakan bahawa Ketua Pengarah JKKP boleh enggan membaharui pendaftaran seseorang SHO sekiranya dia tidak menjalankan kewajipannya.

 

Laporan Petunjuk Prestasi ini boleh diisi di atas talian di pautan berikut (digalakkan):

 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:-

Nama    : Ir. Dr.Mohd Fairuz bin Abd. Rahman

No. Tel. : 03-8886 6453

Email    : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Cetak Emel