Breadcumb Caption
Breadcumb Caption

Lebih 50 sekolah sertai Program OSH - Berita Harian Online

Berita Harian Online, 21 April 2017

 

news bho 210417

LAM Thye bersama Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Zakaria Mohd Edris sempena pelancaran OSH di SMK Merpati di Sandakan, hari ini. - Foto NSTP

 

SANDAKAN: Lebih 50 sekolah di seluruh negara sudah menyertai Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) hasil kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pendidikan, setakat ini.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata dijangkakan lebih banyak lagi sekolah akan menyertai program berkenaan selepas kedua-dua kementerian melancarkan Seminar Pengurusan OSH Di Sekolah di Ibu Pejabat NIOSH di Bandar Baru Bangi pada 14 Mac lalu.

"Di Sabah, beberapa sekolah dan institusi pendidikan telah menyertai program berkenaan sejak memorandum persefahaman ditandatangani oleh kedua-dua kementerian pada tahun 2015.

"Antaranya ialah Kolej Vokasional Tawau; Institut Sinaran, Kota Kinabalu; SMK Benoni, Papar; Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Mohammad Fuad Stephens, Sandakan; Sekolah Menengah (SM) St Patrick, Tawau dan SMK Merpati, Sandakan," katanya selepas majlis pelancaran Program OSH di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merpati di sini, hari ini.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Zakaria Mohd Edris melancarkan program itu yang ditaja Sabah Energy Corporation Sdn Bhd.

Dalam pada itu, Lam Thye berkata Kementerian Sumber Manusia turut menasihatkan sekolah yang mempunyai lebih 40 kakitangan supaya membentuk jawatankuasa OSH masing-masing.

"Jawatankuasa OSH berupaya membantu mengurangkan kemalangan di sekolah kerana ia akan melaksanakan sistem pengenalpastian bahaya, penilaian risiko dan kawalan risiko yang dikenali sebagai HIRARC.

"Keperluan ini termaktub dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan kementerian diberi kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak melaksanakannya, termasuk di sekolah atau tapak pembinaan," katanya.

Sementara itu, berdasarkan rekod Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, beliau berkata sebanyak 31 kemalangan di sekolah dilaporkan berlaku dalam tempoh lima tahun lalu termasuk kematian pelajar akibat ditimpa tiang gol dan kipas siling.

"Insiden lain termasuk kes pelajar terdedah kepada bahan kimia dan merkuri di makmal sekolah. Kita percaya jumlah sebenar kemalangan di sekolah lebih tinggi kerana ada sekolah yang tidak membuat laporan kerana menganggap kes terbabit kecil.

"Insiden sebegini boleh dielakkan jika semua sekolah mengamalkan budaya OSH yang baik dan melakukan audit keselamatan dengan kerap seperti yang disarankan NIOSH," katanya.

Katanya, amalan OSH yang baik penting untuk mengelakkan kemalangan di kira-kira 10,000 sekolah yang mempunyai kira-kira lima juta pelajar dan 500,000 guru di negara ini.

 

Cetak Emel