Breadcumb Caption
Breadcumb Caption

99 kematian akibat kemalangan tapak pembinaan

Sinar Harian Online, 30 Mac 2017

 

MELAKA - Sebanyak 99 kematian direkodkan berlaku di tapak pembinaan seluruh negara tahun lepas berbanding 88 kematian pada tahun sebelumnya, kata Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Pekerjaan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP)

Omar Mat Piah. Beliau berkata pada tahun 2015 pula purata 10.94 kematian setiap 100,000 pekerja direkodkan di tapak pembinaan berbanding purata nasional iaitu 4.84 kematian setiap 100,000 pekerja.

Katanya, pada tahun sama juga kemalangan yang mengakibatkan kecederaan di tapak binaan pula secara purata adalah 4.36 kecederaan setiap 100,000 pekerja pada tahun 2015 berbanding purata nasional iaitu 2.53 kecederaan setiap 100,000 pekerja. "Industri pembinaan negara masih berisiko tinggi berlaku kemalangan terutama di tapak pembinaan sekiranya aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan tidak diberi perhatian oleh penggiat industri berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan seminar Keselamatan dan Kesihatan anjuran Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) di sini yang turut dihadiri Presiden MBAM Foo Chek Lee dan Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Melaka, Jaafar Leman. Mengulas lanjut, Omar berkata kebanyakan kematian dan kemalangan yang berlaku di tapak binaan adalah disebabkan pekerja jatuh dari bangunan yang dibina atau objek jatuh menimpa pekerja. Justeru beliau berkata JKKP telah mengeluarkan buku 'Guidelines of Occupational Safety and Health in Construction Industry (Management) 2017' yang dilancarkan pada bulan lepas sebagai panduan untuk semua penggiat industri pembinaan di negara ini termasuk pemaju dan pereka bentuk bangunan. "Ia bukan sahaja merangkumi fasa ketika pembinaan tetapi juga di peringkat penyelenggaraan dan merobohkan sesuatu bangunan berkenaan. Berdasarkan panduan ini, kita sasarkan untuk menurukan kadar purata kemalangan dan kematian di tapak pembinaan kepada 50 peratus pada tahun 2020," katanya.

Beliau berkata panduan berkenaan juga akan dicadangkan untuk menjadi sebahagian daripada undang-undang yang perlu dipatuhi semua penggiat industri pembinaan pada masa akan datang, yang mana panduan seumpama itu telah dijadikan undang-undang dalam industri pembinaan di United Kingdom dan Singapura. Sementara itu, Foo berkata seminar tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran serta amalan dalam kalangan kontraktor terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan ia akan diperluaskan di seluruh negara selepas penganjurannya di Melaka buat julung kalinya. "Industri pembinaan negara dilihat berkembang pesat dan dijangkakan akan meningkat kepada 8.3 peratus pada dalam tempoh masa beberapa tahun lagi dan adalah penting untuk memastikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan dapat dipraktikkan secara menyeluruh dan berkesan bagi mengelak sebarang kemalangan atau kematian," katanya.

Cetak Emel