Breadcumb Caption
Breadcumb Caption

Eskalator: Kanak-kanak perlu pengawasan - Berita Harian Online

Berita Harian Online, 12 Jun 2016

new bho 130616
Tan Sri Lee Lam Thye

KUALA LUMPUR: Pengawasan ibu bapa terhadap kanak-kanak ketika menggunakan eskalator perlu diterapkan dalam kalangan masyarakat, terutama sepanjang musim perayaan atau jualan murah.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, menyifatkan lima kejadian membabitkan eskalator atau tangga gerak di negara ini yang berlaku antara November 2015 hingga awal Jun tahun ini berpunca daripada kecuaian.

Katanya, kekerapan kes yang amat membimbangkan itu, perlu ditangani dengan mengadakan kempen kesedaran menerusi pelbagai cara termasuk penyebaran risalah dan pemaparan kaedah menggunakan eskalator di pusat beli-belah.

"Lima kejadian membabitkan kecederaan serius dalam kalangan kanak-kanak, iaitu kehilangan jari tangan, kaki dan beberapa bahagian anatomi wajar dipandang serius.

"Kes sedemikian berlaku beberapa kali dalam tempoh lapan bulan, sekali gus menuntut kerjasama pelbagai pihak, khususnya ibu bapa untuk mengawasi kanak-kanak ketika menggunakan eskalator.

"Pengurusan kompleks beli-belah juga perlu mengarahkan pengawal keselamatan mengawasi mana-mana kanak-kanak yang sering bermain di eskalator tanpa dipedulikan ibu bapa.

"Statistik Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menunjukkan 97 peratus daripada 31 laporan kemalangan eskalator antara tahun 2011 hingga Mei 2015 membabitkan kanak-kanak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kemalangan eskalator pada 6 Jun lalu, membabitkan seorang kanak-kanak lelaki yang cedera di bahagian kemaluan gara-gara seluarnya tersangkut pada komponen lantai eskalator di pusat beli-belah di Bagan Serai, Perak.

Selain mengetahui cara menggunakan butang kecemasan, Lam Thye berkata, setiap eskalator yang beroperasi perlu memiliki sijil layak daripada JKKP.

Kelayakan itu, katanya, turut tertakluk kepada beberapa syarat, termasuk pematuhan aspek keselamatan eskalator setiap kali sijil berkenaan ingin diperbaharui.

"Sijil ini perlu diperbaharui setiap 15 bulan, justeru eskalator perlu diselenggara secara berjadual bagi membendung kes kanak-kanak tersepit sehingga ada yang meragut nyawa.

"Eskalator dalam bangunan awam dan kompleks beli-belah perlu diperiksa lebih kerap bagi memastikan ia selamat digunakan, terutama ketika musim jualan murah, cuti am dan cuti sekolah.

"Kerja pembaikan eskalator hanya boleh dilakukan jurutera yang diperakui supaya setiap penyelenggaraan dilaksana mengikut prosedur," katanya.

Cetak Emel