Kemalangan Akibat Terhidu Gas Toksid

Satu kes kemalangan melibatkan 6 pekerja maut akibat terhidu gas toksid dilaporkan berlaku pada 11 Ogos 2009 lebih kurang jam 8.45 pagi di sebuah jeti milik persendirian di Tanjung Karang, Kuala Selangor. Penyiasatan mendapati jeti pendaratan ikan ini menyimpan ikan terbuang atau yang telah busuk dari proses pemilihan dari hasil tangkapan dari laut. Ikan-ikan ini disimpan di dalam petak simpanan ikan (berisi air laut dan didinginkan dengan gas penyejuk chlorofluoromethane atau R22) selama beberapa hari sebelum dihantar ke kilang memproses baja atau makanan ikan. Pengukuran gas toksid dijalankan 12, 13 dan 14 Ogos 2009 menunjukkan wujudnya gas hidrogen sulfida (H2S). Kadar tertinggi yang dicatatkan ialah 172 ppm yang diukur pada 12/8/2009. Kadar ini adalah melebihi kadar IDHL (Immediate Dangerous to Health or Life) yang menyatakan pada kadar 100 ppm mengikut piawaian antarabangsa. Pada kadar 300 ppm secara tiba-tiba boleh menyebabkan seseorang hilang keseimbangan badan dan menyebabkan sesak nafas secara mendadak.


Gambar 1: Menunjukkan petak simpanan ikan

Gas hidrogen sulfida (H2S) adalah gas amat beracun. Ia berbau seperti telur busuk, tidak bewarna dan mempunyai ketumpatan yang lebih tinggi berbanding udara. Gas ini boleh larut di dalam air dan terbebas apabila air dikacau. Gas ini boleh terhasil melalui proses pereputan ikan di dalam ruang yang tertutup. Pada kadar 100 ppm, gas ini boleh membunuh sel deria manusia dan menyebabkan mangsa loya, pening dan pengsan.

Langkah pencegahan yang perlu digunakan sekiranya bekerja dalam keadaan berisiko gas toksid:

  1. Penaksiran risko bagi proses melibatkan pendedahan pekerja terhadap gas toksik harus dijalankan dan langkah-langkah keselamatan yang bersesuain harus diterap supaya keselamatan dan kesihatan pekerja dapat dijaga dengan baik.
  2. Pekerja dan majikan harus mengetahui secara mendalam mengenai proses yang dijalankan di tempat kerja iaitu mengetahui gas-gas toksid yang terhasil dari proses berkenaan.
  3. Majikan harus menjalankan pengukuran gas sebelum memasuki petak penyimpanan ikan bagi mengesan kehadiran gas berbahaya dan kandungan gas oksigen di dalam petak.
  4. Sekiranya pekerja didapati pengsan setelah masuk ke dalam petak, pekerja yang lain haruslah memberitahu majikan tanpa perlu menyelamatkan pekerja bekenaan.
  5. Pemakaian alat pernafasan - Self Contained Breathing Apparatus [SCBA] harus digunakan ketika menjalankan kerja-kerja penyelamatan.

Cetak