Keruntuhan Papak Konkrit Dan Struktur Formwork Semasa Dalam Pembinaan

Safety alert ini dikeluarkan lanjutan daripada kejadian keruntuhan papak yang sedang dalam pembinaan di Terengganu. Seorang pekerja binaan telah terbunuh akibat daripada kemalangan tersebut apabila formwork dan struktur sementara (propping) yang dibina telah runtuh semasa kerja-kerja penuangan konkrit sedang dijalankan untuk pembinaan papak konkrit tingkat atas bangunan tersebut. Simati telah terjatuh ke bawah bersama-sama dengan formwork dan propping yang tiba-tiba runtuh.
Insiden ini juga menyebabkan kecederaan kepada empat orang pekerja pembinaan yang lain yang sedang bekerja di atas papak konkrit tersebut dengan simati.
Gambar: Menunjukkan sebahagian pandangan tapak pembinaan selepas insiden keruntuhan papak konkrit dan formwork ketika dalam pembinaan
Daripada penyiasatan yang telah dijalankan, kemalangan ini berlaku semasa kerja-kerja konkrit untuk pembinaan papak tingkat empat sedang dijalankan. Konkrit yang digunakan untuk pembinaan papak diangkut ke atas dengan menggunakan kerin bergerak. Kejadian insiden keruntuhan ini berlaku ketika kerja-kerja untuk menghabiskan konkrit yang terakhir.

Kehendak Undang-Undang
1.
Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994, mengkehendaki majikan untuk menjalankan dan mengenalpasti hazad di tempat kerja sebelum sesuatu risiko boleh dinilai dan dikawal kepada standard yang praktik. Ianya juga mengkehendaki kontraktor utama dan sub-kontraktor untuk menyedia, melaksana dan menyelengara satu sistem kerja selamat. Majikan juga dikehendaki mengadakan dan melaksanakan kaedah kerja selamat untuk setiap kerja-kerja binaan yang merbahaya yang telah dikenalpasti. Maklumat-maklumat daripada kaedah kerja selamat itu hendaklah dikomunikasikan kepada setiap pekerja yang terlibat dengan kerja-kerja binaan tersebut.
2.
Majikan hendaklah memastikan semua bahagian formwork dan struktur propping sementara yang dipasang hendaklah stabil dan kukuh semasa digunakan ketika kerja-kerja pembinaan papak konkrit. Orang Tertentu yang dilantik oleh majikan hendaklah memeriksa mengenai keselamatan semua struktur-struktur sementara yang dipasang sebelum dan semasa kerja-kerja konkrit hendaklah dijalankan.
3.
Kontraktor hendaklah mematuhi sepenuhnya kehendak - kehendak Bahagian III, Peraturan-Peraturan (Kerja Binaan Bangunan Dan Kerja-Kerja Kejuruteraan (Keselamatan) Kilang Dan Jentera, 1986 untuk kerja-kerja konkrit.
Rujukan
1.
Garis Paduan Keselamatan Orang Awam di Tapak Pembinaan terbitan Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia.
2.
Formwork Code of Practice 2006 diterbitkan oleh Workplace Health and Safety Queensland, Australia.

Cetak