10 anggota bomba cedera, lima parah

Utusan Online, 5 November 2012

news 05112012Anggota bomba memadamkan kebakaran pada empat tangki yang mengandungi minyak silinder terpakai di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, semalam. - utusan/Zuharman Mohamad Nor

KOTA BHARU 4 Nov. - Seramai 10 anggota Bomba dan Penyelamat negeri cedera termasuk lima parah akibat disambar api ketika cuba memadamkan kebakaran empat buah tangki yang mengandungi minyak silinder terpakai di sebuah gudang bekas kilang tayar di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa di sini pagi ini.

Ketika kebakaran kira-kira pukul 8.11 pagi itu, anggota bomba berkenaan sedang bertungkus-lumus memadamkan api bersama 29 anggota lain.

Keadaan bagaimanapun bertukar tragedi apabila minyak silinder daripada dua tangki berkenaan yang bocor disambar api dan meletup sehingga mencetuskan kebakaran besar sebelum menyambar anggota bomba terbabit.

Kejadian itu menyebabkan lima daripada mereka parah di bahagian muka, leher dan tangan. Malah, ada sebahagian daripada anggota tersebut terpaksa diselamatkan setelah baju mereka disambar api.

Kejadian itu turut menggemparkan pihak media yang sedang membuat liputan kebakaran tersebut sehingga terpaksa melarikan diri apabila melihat percikan api setinggi 10 meter mula menyambar kawasan sekeliling. Seorang daripada mereka turut terseliuh kaki ketika cuba menyelamatkan diri.

Percikan api itu yang lazimnya dilihat dalam filem-filem aksi, turut mencemaskan orang ramai terutama pekerja kilang di kawasan berhampiran.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Kelantan, Azmi Osman berkata, lima anggota yang parah ialah Pegawai Bomba Kanan 1, Abdullah Din Mohamad, 55; Pegawai Bomba Kanan 2, Nazah Napi, 43; Abdul Razak Abdullah, 45; Wan Asri Wan Yaakob, 52; dan Zulkifli Mahmud, 40.

Katanya, mereka diberi rawatan kecemasan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

"Lima lagi anggota yang mengalami kecederaan ringan turut diberi rawatan sebagai pesakit luar di kedua-dua hospital berkenaan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Azmi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8 pagi dan seramai 39 anggota bersama lima buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Kota Darul Naim dan Tunjung dikejarkan ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran.

"Kebakaran tersebut melibatkan empat buah tangki minyak silinder dan ketika operasi memadam dijalankan, dua daripada tangki berkenaan mengalami kebocoran sehingga menyebabkan api menjadi semakin marak dan menyambar 10 anggota di situ," katanya.

Kata beliau, dalam keadaan kelam-kabut itu, anggota yang mengalami kecederaan dikejarkan ke hospital manakala anggota lain berusaha mengawal kebakaran walaupun menghadapi masalah kekurangan bekalan air.

"Kebakaran itu memusnahkan bahagian belakang gudang tersebut dan sebuah lori tangki kosong yang diletakkan berhampiran. Secara keseluruhan kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh dua jam," katanya.

Sementara itu, pemilik kilang berkenaan, Ong Cheok Hong, 38, ketika ditemui berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh pekerjanya pukul 8.10 pagi, lalu menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.

Jelasnya, gudang tersebut sebelum ini digunakan untuk aktiviti mencelup tayar terpakai sebelum operasinya dipindahkan ke Lembah Klang sejak beberapa bulan lalu dan gudang tersebut kini hanya dijadikan pusat servis tayar sahaja.

"Kita memang mempunyai empat tangki sisa minyak silinder yang digunakan untuk operasi mencelup tayar sebelum ini yang ditempatkan di bahagian belakang gudang tersebut.

"Ketika ini saya hanya mempunyai lima orang pekerja dan kesemua mereka tidak mengalami kecederaan. Jumlah kerugian sehingga kini belum dapat dipastikan," ujarnya.

Cetak