17 sekolah di Pahang perlu pemantauan

Berita Harian Online, 29 Disember 2011

KUANTAN, 28 Dis - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pahang mengesahkan 17 sekolah menengah, termasuk vokasional di negeri ini memerlukan pemantauan pematuhan keselamatan dan kesihatan.

Pengarahnya, Abdul Aziz Yahya, berkata faktor keselamatan dan kesihatan itu bukan saja kepada pelajar, tetapi membabitkan guru, kakitangan sekolah, ibu bapa dan pelawat sepanjang berada di kawasan sekolah.

“Pemeriksaan dan pemantauan itu dilakukan di makmal dan bengkel membabitkan penggunaan bahan kimia serta peralatan yang boleh mendatangkan bahaya jika faktor keselamatan tidak diberi perhatian.

“Pada masa sama, rata-rata sekolah tidak mewujudkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan sedangkan ia perlu bagi memastikan tahap keselamatan apabila berada di sekolah,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman Program Mentor-Mentee OSH MP-15, di sini, kelmarin.

MOU itu antara Centralised Utility Facilities Gebeng, Petronas Gas Berhad yang diwakili Pengurus Kanan Loji, Ahmed Sharifudden; Urban Environmental Industries Sdn Bhd (Ketua Pegawai Eksekutif, Thomas Tang) dan JKKP Pahang pula diwakili Abdul Aziz.

Abdul Aziz berkata, program mentor mentee bukan saja membangunkan dan menggalakkan standard keselamatan dan kesihatan di kalangan majikan, malah membantu memajukan perniagaan mereka ke tahap seterusnya.

Katanya, selain itu, pihaknya menyediakan panduan sistematik mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Cetak