Banjir: 140 projek dalam pembinaan dijamin selamat

Utusan Online, 19 Disember 2011

KOTA BHARU, 18 Dis - Aspek keselamatan kira-kira 140 projek pembinaan yang sedang aktif di seluruh negeri ini dijamin dalam keadaan baik dan tidak terjejas meskipun berhadapan dengan musim tengkujuh yang masih berlarutan.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) negeri, Ir. Zulkafli Zainuddin berkata, pihaknya mengadakan pemeriksaan berkala dan berpuas hati dengan pelaksanaan kerja yang dijalankan pemaju bagi mengelak risiko seperti binaan asas yang retak akibat hujan kerana ia boleh mengancam keselamatan.

Menurutnya, melalui lawatan yang dilakukan, pihaknya memastikan pemaju dan kontraktor mematuhi peruntukan dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 dan menilai mereka berdasarkan senarai hirarki kawalan yang telah ditetapkan.

"Daripada pemantauan yang dibuat, kami mendapati setakat ini tidak ada satu pun tapak pembinaan termasuk projek perumahan yang aspek keselamatannya boleh terjejas akibat musim tengkujuh kerana kontraktor mematuhi peraturan dan prosedur.

"Majoriti daripadanya kita beri gred B dan C iaitu mereka mematuhi prosedur cuma ada sedikit kekurangan seperti tidak mempunyai pegawai kesihatan dan keselamatan mereka sendiri bagi mengawasi aspek itu di tapak kerja yang mana ia satu keperluan wajib bagi projek bernilai RM20 juta ke atas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kesihatan Pekerjaan peringkat negeri di Dewan Auditorium Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang dihadiri lebih 80 kakitangan Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Katanya, aspek sama ada peralatan kren dan jentera dalam kawasan projek mempunyai sijil perakuan serta diselenggara dengan sempurna juga menjadi antara perkara utama dinilai pegawai DOSH bagi mengelak kemalangan dan perkara yang tidak diingini berlaku.

Cetak