Bantu industri selamat kos

Harian Metro, 10 November 2011

KUALA LUMPUR - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) membantu pihak industri daripada menanggung kerugian berjumlah RM4.7 billion menerusi pemeriksaan dan pembersihan jentera selepas melanjutkan tempoh sah perakuan kelayakan membabitkan 8,210 jentera tahun lalu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam berkata, kerugian yang diselamatkan itu berbentuk kos langsung membabitkan pemeriksaan serta pembersihan jentera serta kos tidak langsung yang membabitkan kehilangan pengeluaran.

“Bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini pula, kos yang dapat diselamatkan menerusi pemeriksaan dan pembersihan berkenaan ialah RM877 juta membabitkan 4,414 jentera.“

“Inisiatif ini secara langsung akan berupaya membantu menarik minat pelabur asing untuk melabur di negara ini, “ katanya dalam ucapan yang dibacakan Ketua Pengarah JKKP, Dr Johari Basri pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) penggunaan perisian ‘Online PRBI Dosh Interface’ antara JKKP dan Petronas di sini, semalam.

Pada majlis sama, Johari menandatangani MOU itu bagi pihak JKKP manakala Petronas diwakili Naib Presiden Bahagian Teknologi dan Kejuruteraan Dr Colin Wong.

Perisian itu membolehkan JKKP membuat semakan dan penilaian secara online bagi permohonan melanjutkan tempoh sah sijil perakuan kelayakan jentera tanpa perlu menghentikan operasi jentera itu.

"Sebagai permulaan inisiatif itu akan dilaksanakan di Kompleks Petronas LNG di Bintulu, Sarawak.

Subramaniam berkata, aktiviti pemeriksaan dan pengeluaran perakuan kelayakan adalah aktiviti penting membolehkan jentera berkenaan beroperasi untuk tempoh yang lebih lama.

“Ini secara tidak langsung membantu pihak industri daripada menanggung kerugian daripada pemberhentian loji yang kerap,” katanya.

Cetak