Breadcumb Caption
Breadcumb Caption

Kepentingan Pelinciran Tali Dawai dan Kriteria Penukaran

Safety alert ini menggariskan kepentingan pelinciran tali dawai dan kriteria utama yang digunakan untuk penukaran tali dawai di lif penumpang. Tali dawai membengkok dan melurus semasa lif beroperasi menyebabkan berlaku pergerakan relatif di antara dawai di dalam lembar, lembar dan teras di dalam tali dawai, serta di antara tali dawai dan alur kapi dan takal. Kehilangan akibat geseran semasa operasi tali dawai hendaklah di minimakan melalui pelinciran yang berkesan dan berkala.

Penggunaan minyak yang sesuai hendaklah di lakukan secara berkala untuk memastikan pelinciran yang mencukupi. Pelinciran yang tidak cukup boleh menyebabkan pengaratan, pelelasan haus; dan pengerasan tali dawai. Di dalam persekitaran yang menggalakkan pengaratan, penjagaan dan perhatian adalah penting. Pelinciran yang mencukupi juga mengurangkan kelesuan kerana ianya membolehkan pergerakan di antara dawai-dawai yang sempurna. Teras fiber tidak boleh dibiarkan menjadi kering untuk mengelakkan pelelasan haus daripada berlaku di antara lembar dan teras. Jika berterusan, keadaan ini boleh menyebabkan teras tidak mampu untuk menyokong lembar. Pelinciran menggunakan gris hanya melindung isu tersebut dan tidak menyelesaikan masalah yang sebenar.

Kekerapan pelinciran bergantung kepada beberapa faktor seperti jenis perkhidmatan lif, Kelajuan tali dawai, keadaan persekitaran dan suhu. Pemeriksaan perlu dilakukan untuk menentukan kekerapan pelinciran. Kaedah pelinciran yang sesuai hendaklah digunakan untuk mengelakkan terlalu banyak pelincir disapu pada permukaan luar tali dawai. Pelinciran yang berlebihan boleh menyebabkan pengurangan geseran.

Keselamatan operasi lif memerlukan tali dawai ditukar. Beberapa kriteria penukaran tali dawai adalah seperti berikut:

  1. Jumlah maksimum dawai luar yang putus atau retak;
  2. Peratusan maksimum haus yang dibenarkan pada dawai luar;
  3. Kerosakan mekanikal, pemanjangan tali dawai yang berlebihan atau lain–lain kejanggalan pada bentuk tali dawai disebabkan oleh pemutusan lembar;
  4. Peratusan kehilangan kekuatan putus maksimum dan pengurangan faktor keselamatan; dan
  5. Pengaratan yang melampau.

Maklumat lanjut berkenaan pelinciran dan kriteria utama yang digunakan untuk penukaran tali dawai boleh diperolehi daripada Rujukan.

Rujukan

  1. Howkins RE. 1998. Lift Modernisation Design Guide. Elevator World.
  2. Janovsky L. 1999. Elevator Mechanical Design, 3rd Edition. Elevator World.
  3. Schunemann W, Vogel W, Barthel T. 2009. Steel wire ropes for traction elevators: Part 1-3. www.elevatorbooks.com.

Cetak Emel