• Ruangan KKP
  • Artikel KKP
  • Patuhi arahan keselamatan eskalator
Slider

Patuhi arahan keselamatan eskalator

Utusan Online, 27 Oktober 2016, MUHAMMAD AL FATEH AMRAN - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

KEJADIAN seorang kanak-kanak perempuan cedera parah setelah terjatuh dari eskalator ketika didukung bapanya di sebuah pusat beli-belah di Pulau Pinang pada 17 Oktober lalu harus dijadikan pengajaran semua pihak.

Kemalangan membabitkan eskalator bukan perkara baharu kerana saban tahun pelbagai kisah ngeri membabitkan penggunaan tangga bergerak dilaporkan di Malaysia dan juga luar negara.

Berdasarkan maklumat yang didedahkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) pada Mac lalu, lebih 90 peratus kemalangan eskalator berpunca daripada kecuaian pengguna.

Tidak dinafikan malang memang tidak berbau, namun sesuatu kecelakaan yang berlaku secara tiba-tiba dapat dielakkan dengan mengambil langkah pencegahan awal.

Justeru, menjadi tanggungjawab setiap pengguna untuk lebih berwaspada semasa menggunakan eskalator termasuk mengawasi anak-anak bagi menjamin keselamatan mereka kerana majoriti mangsa kemalangan ialah kanak-kanak.

Antara langkah keselamatan yang harus dipatuhi adalah memastikan kaki berada dalam garisan kuning yang ditetapkan serta mematuhi setiap arahan yang ditetapkan oleh pemilik premis termasuk tidak bergayut pada pemegang tangga bergerak.

Selain itu, penggunaan selipar getah yang lembut oleh kanak-kanak turut me­nyum­bang kepada risiko kemalangan kerana kasut jenis berkenaan mudah tersangkut pada eskalator yang sedang bergerak.

Oleh itu, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka memakai kasut yang sesuai ketika menggunakan eskalator.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak hiperaktif atau membawa kereta sorong bayi, mereka perlu mengelak menggunakan tangga bergerak.

Mereka boleh mengambil alternatif lain dengan menggunakan lif sebagai langkah berwaspada bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku.

Orang ramai yang mendapati eskalator tidak selamat digunakan seperti bergerak terlalu laju perlu mengelak menggunakan kemudahan berkenaan. Mereka perlu segera memaklumkan kepada pihak pengurusan premis berkenaan untuk tujuan pembaikan.

Cetak Emel