Breadcumb Caption
  • HUBUNGI KAMI
  • Soalan Lazim
Breadcumb Caption
  • HUBUNGI KAMI
  • Soalan Lazim

Pengandung Tekanan Tak Berapi

Pengandung Tekanan Tak Berapi (PTTB) bermaksud sesebuah bekas tertutup yang mempunyai tekanan lebih besar daripada tekanan atmosfera sama ada dalam bentuk gas atau campuran gas-gas dan termasuklah juga pengandung yang berada di bawah tekanan stim yang dihasilkan dari dandang stim dan sesuatu pengandung di bawah tekanan cecair dan gas atau kedua-duanya, dan sebarang pengandung tekanan yang bahagian dalamnya mempunyai tekanan di bawah tekanan atmosfera (hampagas).

Contoh-contoh pengandung tekanan ini adalah seperti bekas udara, penukar haba, penyucihama, pengandung-pengandung di loji petrokimia, tangki simpanan LPG, pengandung-pengandung untuk proses rawatan air dan sebagainya.

PTTB adalah merupakan suatu peralatan yang berisiko tinggi dan berpotensi untuk mendatangkan bahaya kerana kandungannya mempunyai tekanan. Sebarang kesilapan pada rekabentuk atau pembinaan boleh menyebabkan letupan atau kerosakan pada PTTB. Beberapa kes kemalangan seperti letupan keatas PTTB pernah berlaku dan mengakibatkan kerosakan dan kemusnahan kepada harta benda, persekitaran atau kehilangan nyawa. Oleh yang demikian, pembinaan PTTB ini perlulah dikawal dengan sebaik mungkin dan sistematik bagi menjamin keselamatan manusia, harta benda dan persekitaran. Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah diberi tanggungjawab untuk membuat kawalan ke atas rekabentuk, pendaftaran dan pemeriksaan berkanun ke atas PTTB.

Bagi PTTB impot, sekiranya hasil darab tekanan reka bentuk (psi) dengan garispusat dalam (inci) melebihi 3000 psi.in, ia perlulah disemak, diselia dan disahkan oleh Badan Berkuasa Memeriksa yang diiktiraf seperti yang dinyatakan dalam Jadual Keempat Peraturan-Peraturan (Dandang Setim dan Pengandung Tekanan Tak Berapi) Kilang dan Jentera, 1970.