mobile header ms01

  • Utama
  • Keselamatan Tapak Bina
  • Kemudahan Kebajikan

Kemudahan Kebajikan di Tapak Pembinaan

Kemudahan kebajikan minimum yang diperlukan di tapak pembinaan

Setiap pekerja di tapak pembinaan layak mendapat kemudahan kebajikan yang disediakan olej majikannya.  Kebajikan adalah keperluan asas untuk pekerja dan merupakan kehendak undang-undang.  Majikan haruslah mempertimbangkan semasa fasa perancangan dan persediaan ketersediaan kemudahan kebajikan, lokasinya di tapak pembinaan dan bagaimana kemudahan ini disenggara.

Kemudahan yang mencukupi dan disenggara dengan baik boleh memberi manfaat yang wajar kepada kesihatan dan kesejahteraan pekerja.  Kemudahan yang baik juga boleh membantu mencegah beberapa penyakit pekerjaan (seperti hepatitis A, taun dan radang kulit).


Tandas

1 Tandas yang sesuai dan cukup mestilah disediakan atau boleh digunakan di tempat yang mudah diakses.

2 Tandas mestilah disediakan seperti yang berikut18:

(a) jika 25 orang lelaki atau kurang: satu bilik air atau tandas dan empat kaki tempat buang air kecil;
(b) jika lebih daripada 25 orang lelaki tetapi kurang daripada 50 orang: dua bilik air atau tandas dan lapan kaki tempat buang air kecil;
(c) jika lebih daripada 50 orang lelaki tetapi kurang daripada 100 orang: tiga bilik air atau tandas dan 13 kaki tempat buang air kecil;
(d) jika lebih daripada 100 orang lelaki: tiga bilik air atau tandas dan 13 kaki tempat buang air kecil dan tambahan bilik air atau tandas dan tambahan empat kaki tempat buang air kecil disediakan bagi setiap tambahan 50 orang;
(e) jika 20 orang perempuan atau kurang: satu bilik air;
(f) jika lebih daripada 20 orang perempuan: satu bilik air dan satu tambahan bilik air disediakan bagi setiap tambahan 20 orang perempuan.

Jika tandas ini tidak praktikal, nisbah satu tandas kepada tujuh orang disarankan19.

3 Bilik air dan tempat buang air kecil di dalam bangunan mestilah daripada jenis pam air20.

4 Jika keadaan memerlukan, air mengalir, yang disambungkan ke punca utama air dan sistem saliran, mestilah disediakan bagi setiap bilik tandas21.

5 Bilik tandas mestilah tidak bersambung terus dengan tempat kerja sebenar tetapi mestilah terbuka hanya ke arah koridor, ruang hadapan, ruang pendaratan atau halaman22.

6 Setakat yang praktik, bilik yang mengandungi tandas mestilah dialihudarakan secukupnya dan diterangi dengan lampu23.

7 Setakat yang praktik, tandas dan bilik yang mempunyai kemudahan ini mestilah sentiasa bersih dan dalam keadaan teratur.

8 Bilik berasingan yang mempunyai tandas mestilah disediakan untuk lelaki dan perempuan24.

 

Kemudahan Mencuci

9 Kemudahan mencuci yang sesuai dan cukup, termasuk pancuran air jika diperlukan oleh jenis kerja atau atas sebab kesihatan, mestilah, setakat yang praktik, disediakan atau boleh digunakan di tempat yang mudah diakses.

10 Kemudahan mencuci mestilah terdiri daripada sekurang-kurangnya satu singki cuci tangan atau palung yang setara dengan saiz yang sesuai, yang mempunyai permukaan licin kalis air dan dipasang dengan paip kotoran dan palam untuk setiap 20 atau sebahagian daripada 20 orang yang digaji pada satu-satu masa25.

11 Kemudahan mencuci mestilah disediakan:

(a) berdekatan dengan setiap tandas, sama ada disediakan juga di tempat lain atau tidak; dan
(b) berdekatan apa-apa bilik salin pakaian yang diperlukan dalam perenggan 21 hingga 25, sama ada disediakan di tempat lain atau tidak.

12 Kemudahan mencuci mestilah termasuk:

(a) bekalan air bersih, setakat yang praktik, mestilah air mengalir;
(b) sabun dan cara mencuci lain yang sesuai; dan
(c) tuala atau cara lain yang sesuai untuk mengeringkan badan26.

13 Lantai di semua kemudahan mencuci mestilah diperbuat daripada bahan kalis air dan hendaklah dicerunkan dengan betul untuk saliran yang berkesan27.

14 Bilik yang mempunyai kemudahan mencuci mestilah dialihudarakan secukupnya dan diterangi dengan lampu.

15 Kemudahan mencuci dan bilik yang mengandungi kemudahan mencuci mestilah sentiasa bersih dan dalam keadaan teratur.

16 Tertakluk kepada subperenggan 17, kemudahan mencuci yang berasingan mestilah disediakan untuk lelaki dan perempuan, melainkan jika ia disediakan di dalam bilik yang pintunya boleh dikunci dari dalam dan kemudahan di dalam setiap bilik adalah untuk digunakan oleh seorang sahaja pada satu-satu masa.

17 Subperenggan 16 tidak terpakai kepada kemudahan yang disediakan untuk mencuci tangan, lengan dan muka sahaja.

 

Air Minuman

18 Bekalan air minum yang bersih, selamat dan sedia untuk diminum mestilah disediakan di tempat yang mudah diakses dan selamat dan mestilah daripada sumber utama yang disalurkan atau beberapa sumber lain yang diluluskan oleh Pemeriksa28.

19 Jika perlu atas sebab keselamatan dan kesihatan (contohnya, jika bekalan air minum adalah selain bekalan yang disalurkan), setiap bekalan air minum mestilah ditandakan dengan jelas menggunakan papan tanda yang sesuai untuk menunjukkan air adalah selamat untuk diminum dan bekalan tersebut dibaharui setiap hari dan semua langkah perlindungan yang perlu diambil untuk memelihara air dan bekas daripada pencemaran29.

20 Jika bekalan air minum disediakan, cawan atau bekas minuman lain yang mencukupi juga mestilah disediakan, melainkan bekalan air minum dalam bentuk pancutan air yang seseorang boleh meminumnya dengan mudah. Dilarang sama sekali menggunakan cawan yang sama30.

 

Bilik salin pakaian dan lokar

21 Bilik salin pakaian yang sesuai dan cukup mestilah disediakan atau boleh digunakan di tempat yang mudah diakses jika pekerja:

(a) perlu memakai pakaian khas (disebabkan oleh terdedah kepada pencemaran bahan beracun, berjangkit, merengsa atau radioaktif) untuk tujuan kerja pembinaan31; dan
(b) tidak boleh, atas sebab kesihatan atau tatasusila, menukar pakaian di tempat lain.

22 Jika perlu atas sebab tatasusila, mestilah disediakan bilik salin pakaian yang berasingan untuk lelaki dan perempuan, atau penggunaan bilik yang berasingan oleh lelaki dan perempuan.

23 Pakaian khas yang tercemar tidak boleh dipakai di premis atau kawasan yang menjadi ruang makan32.

24 Bilik salin pakaian mestilah:

(a) disediakan dengan tempat duduk; dan
(b) termasuk, jika perlu, kemudahan untuk membolehkan seseorang itu membasuh dan mengeringkan apa-apa pakaian khas dan apa-apa pakaian atau barang peribadi33.

25 Kemudahan yang sesuai dan cukup mestilah, jika perlu, disediakan atau boleh digunakan di tempat yang mudah diakses untuk membolehkan orang menyimpan:

(a) apa-apa pakaian khas yang tidak dibawa balik ke rumah;
(b) pakaian mereka sendiri yang tidak dipakai semasa waktu bekerja34; dan
(c) barang peribadi mereka.

 

Kemudahan untuk berehat

26 Bilik rehat atau kawasan rehat yang sesuai dan cukup mestilah disediakan atau boleh digunakan di tempat yang mudah diakses.

27 Bilik rehat atau kawasan rehat mestilah:

(a) dilengkapi dengan bilangan meja yang cukup dan tempat duduk bersandar yang cukup untuk beberapa orang yang sedang bekerja yang mungkin menggunakannya pada satu-satu masa;
(b) jika perlu, rangkumkan kemudahan yang sesuai untuk berehat bagi mana-mana perempuan yang bekerja yang sedang hamil atau menyusukan bayi;
(c) merangkumkan perkiraan yang sesuai untuk memastikan makanan boleh disediakan dan dimakan;
(d) merangkumkan tempat untuk memasak air; dan
(e) dikekalkan pada suhu yang sesuai.


18 Per. 37(b), Peraturan-peraturan Kilang dan Jentera (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan)

19 BS6465-1:2006 Pemasangan sanitari. Tataamalan bagi reka bentuk kemudahan sanitari dan skala penyediaan sanitari dan peralatan yang berkaitan

20 Per. 37(c), Peraturan-peraturan Kilang dan Jentera (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan)

21 Per. 37(d), Peraturan-peraturan Kilang dan Jentera (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan)

22 Per. 37(e), Peraturan-peraturan Kilang dan Jentera (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan)

23 Per. 37(f), Peraturan-peraturan Kilang dan Jentera (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan)

24 Per. 37(a), Peraturan-peraturan Kilang dan Jentera (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan)

25 Per. 36(a), Peraturan-peraturan Kilang dan Jentera (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan)

26 Per. 36(a), Peraturan-peraturan Kilang dan Jentera (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan)

27 Per. 36(b), Peraturan-peraturan Kilang dan Jentera (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan)

28 Per. 34(a), Peraturan-peraturan Kilang dan Jentera (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan)

29 Per. 34(b), Peraturan-peraturan Kilang dan Jentera (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan)

30 Per. 34(c) & (d), Peraturan-peraturan Kilang dan Jentera (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan)

31 Per. 33(1)(b), Peraturan-peraturan Kilang dan Jentera (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan)

32 Per. 32(1)(c), Peraturan-peraturan Kilang dan Jentera (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan)

33 Per. 33(2), Peraturan-peraturan Kilang dan Jentera (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan)

34 Per. 33(1)(a), Peraturan-peraturan Kilang dan Jentera (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan)

CetakEmel

Tags Cloud