Breadcumb Caption
  • Keselamatan Tapak Bina
  • Pengenalan
Breadcumb Caption
  • Keselamatan Tapak Bina
  • Pengenalan

Pengenalan

BAHAGIAN KESELAMATAN TAPAK BINA DAN SEKSYEN KERJA BINA

Bahagian Keselamatan Tapak Bina (BKTB), JKKP Ibu Pejabat dan Seksyen Kerja Bina (BKTB), JKKP Negeri menguatkuasakan undang-undang keselamatan, kesihatan dan kebajikan di tapak pembinaan.  Tapak pembinaan boleh dibahagikan kepada dua kategori utama, iaitu operasi-operasi bangunan dan kerja-kerja pembinaan kejuruteraan; dan di antara keduanya terdapat kepelbagaian aktiviti dan tempat kerja, serta risiko yang berbeza. 

Pada asasnya, majikan mempunyai tanggungjawab yang besar di sisi undang-undang untuk mengurus risiko keselamatan dan kesihatan projek pembinaan, yang terbit lantaran aktiviti perniagaan mereka.  BKTB dan SKB pula bertanggungjawab untuk menentukan majikan di sesebuah projek pembinaan mengurus, secara berkesan dan berkadaran, keselamatan dan kesihatan pekerja dan orang lain di tapak pembinaan.  Bagi mencapai maksud ini, dan matlamat utama iaitu mencegah kemalangan di tapak pembinaan, BKTB dan SKB menggunakan pelbagai tindakan perundangan (rujuk Rajah 1), untuk mempengaruhi, menggalakkan dan menasihati majikan dan, jika perlu, mendakwa mereka yang gagal melaksanakan tanggungjawab. 

Tindakan-tindakan perundangan ini telah dijadikan panduan bagi BKTB dan SKB membangunkan Pelan Strategik KKP Industri Pembinaan (PSKKPIP), dengan mengambil kira faktor-faktor kritikal lain seperti saiz dan demografik industri, statistik kemalangan dan risiko.  Sembilan intervensi perundangan dilaksanakan pada masa yang berbeza, mengikut keadaan risiko.  

 

vm BKTB

Rajah 1. Tindakan-tindakan perundangan

 

Berdasarkan sembilan intervensi perundangan ini, aktiviti sasaran kerja tahunan (SKT) ditetapkan, dengan memfokuskan kepada prinsip pencegahan, risiko utama dan kumpulan sasaran.  Aktiviti-aktiviti yang ditentukan bagi mencapai SKT akan mempengaruhi dan mencetus perubahan, namun perubahan yang dijangkakan amat bergantung kepada tindakan majikan. Ini kerana, umumnya JKKP dan khususnya BKTB dan SKB, sendirian tidak boleh memastikan keselamatan dan kesihatan, tetapi bergantung kepada reaksi semua majikan di dalam rantaian pembekalan industri pembinaan; dan pemeriksaan tapak pembinaan oleh JKKP sahaja tidak akan mencukupi.  

BKTB dan SKB terus memperbaiki dan mempertingkatkan lagi usaha untuk mempengaruhi dan memangkin perubahan tingkah laku majikan di projek pembinaan.  Impak awal dapat dilihat kepada sikap dan kesedaran yang lebih positif pada perkerja (pengurus projek, pegawai keselamatan dan kesihatan (SHO), penyelia keselamatan tapak (SSS), operator kren dan pengendali perancah)  yang ditemui semasa aktiviti penguatkuasaan.  Selain itu, lebih ramai majikan yang sedar dan bersedia untuk mengambil tanggungjawab terhadap KKP.

Tindakan punitif menjadi pemangkin kepada proses perubahan tingkah laku majikan dan pekerja.  Saban tahun, BKTB dan SKB beraspirasi untuk mempertingkatkan lagi keberkesanan aktiviti penguatkuasaan dan tindakan punitif.  Hasil positif daripada tindakan punitif adalah lebih ramai majikan yang mempraktikkan sistem kerja yang selamat, kerjasama yang akrab di antara majikan dan pekerja dalam memastikan keselamatan tapak pembinaan dan pengurusan bahaya-bahaya utama tapak pembinaan yang lebih berkesan. 

BKTB dan SKB sedang membangunkan instrumen perundangan (peraturan, tata amalan industri dan garis panduan) yang akan mendesak pengurusan KKP di projek pembinaan dipelopori oleh klien dan pereka bentuk semasa fasa pra-pembinaan, sekali gus mengubah fokus tanggungjawab KKP daripada kontraktor semasa fasa pembinaan kepada kerjasama di antara klien, pereka bentuk dan kontraktor semasa fasa pra-pembinaan, pembinaan dan pasca-pembinaan.  Instrumen perundangan ini akan menjadi pemacu utama kepada anjakan perubahan tingkah laku majikan-majikan di projek pembinaan, sekali gus memperbaiki prestasi KKP industri pembinaan. 

Cetak Emel