Tersepit Platform Mewp

mewps platform

Kemalangan melibatkan sebuah jentera mobile elevating working platforms (MEWP) telah berlaku di sebuah tapak pembinaan bangunan. Seorang pekerja maut setelah terhimpit di antara platform MEWP dengan rasuk lantai bangunan ketika dia sedang mengendalikan platform tersebut. Mangsa dipercayai tidak menyedari platform telah digerakkan terlalu hampir ke sisi dinding bangunan memandangkan pada ketika itu mangsa sedang berdiri membelakangkan bangunan tersebut. Seorang lagi pekerja yang turut berada di dalam paltform bersama-sama dengan mangsa terselamat kerana sempat tunduk apabila platform terperosok masuk ke dalam ruang di antara dinding parapet dan rasuk lantai bangunan.

Merujuk kepada kejadian kemalangan ini, antara perkara-perkara yang perlu diberi perhatian oleh majikan ataupun pekerja (operator) adalah berkenaan:

Kompetensi dan pengalaman kerja

Mana-mana pekerja atau operator yang diarahkan oleh majikan untuk mengendalikan jentera MEWP perlu diberikan latihan yang secukupnya, terutamanya berkenaan perkara-perkara berikut:

  • manual operasi jentera
  • peranti keselamatan pada jentera dan kegunaannya
  • kaedah pengendalian jentera, terutamanya operasi bum
  • bekerja di tempat tinggi
  • penaksiran risiko di tempat kerja

Pekerja juga perlulah mempunyai kemahiran yang tinggi dalam mengendalikan jentera MEWP dan membiasakan diri dengan fungsi dan operasi jentera yang hendak dikendalikannya.

Kepekaan kepada persekitaran tempat kerja

Pekerja atau operator perlu sentiasa sedar dan peka dengan keadaan persekitaran di mana kerja hendak dijalankan. Semasa mengendalikan MEWP, mereka perlu sentiasa memberikan tumpuan kepada perkara-perkara seperti bahaya-bahaya yang terdapat di sekitar platform seperti rasuk tergantung dan kabel elektrik, dan mengambil tindakan yang perlu untuk mengelakkan sebarang pertembungan dengan bahaya tersebut.

Penaksiran risiko

Penaksiran risiko perlu dibuat bagi mengenalpasti semua bahaya yang mungkin timbul daripada operasi kerja MEWP. Keadaan persekitaran kerja, keadaan tanah dan had operasi MEWP perlu diberi perhatian. Setiap pekerja yang diarahkan untuk menjalankan sesuatu tugas oleh majikan mempunyai hak untuk mengetahui bahaya-bahaya yang berkemungkinan dihadapinya semasa menjalankan tugas tersebut dan mengetahui tindakan-tindakan yang disediakan dan diambil bagi mengatasi bahaya-bahaya tersebut oleh majikan.

 

Rujukan:

  1. Mobile Elevated Work Platform (MEWP) Incident Analysis – HSE UK.
  2. Best Practice Guidance for MEWPs. Avoiding Trapping / Crushing Injuries to People in the Platform – Strategic Forum for Construction Plant Safety Group.
  3. Mobile Elevating Work Platforms. Operator’s Safety Guide – Facelift.
  4. Mobile Elevating Work Platforms. Best Practices and Guidelines – Worksafe New Zealand.

Cetak