Jentera Rig Cerucuk Tumbang


SafetyAlert JenteraCerucukTumbang

 

Satu kemalangan yang melibatkan sebuah jentera rig cerucuk telah berlaku di sebuah tapak pembinaan baru-baru ini. Kejadian berlaku semasa operator jentera rig cerucuk berkenaan sedang mengangkat sekeping plet besi yang hendak digunakannya sebagai pelapik /tapak bagi jentera tersebut untuk kerja-kerja menanam cerucuk yang akan dijalankan di lokasi kejadian.

Ketika plet sedang diangkat, jentera tersebut tumbang dan hujung komponen pile leader bagi rig cerucuk telah menghempap kenderaan awam yang ketika itu sedang bergerak melalui jalan raya yang terletak di sebelah lokasi kejadian. Kejadian ini mengakibatkan dua orang awam yang berada di dalam kenderaan tersebut maut manakala operator jentera mengalami kecederaan di kaki.

Berdasarkan kepada kejadian kemalangan ini, antara perkara-perkara yang perlu diberi perhatian oleh pihak kontraktor dan juga operator adalah:

  1. Pihak kontraktor hendaklah menjalankan HIRARC untuk mengenalpasti semua potensi bahaya yang mungkin timbul daripada operasi kerja yang hendak dijalankan dan mengambil langkah kawalan yang perlu bagi mengelakkan daripada berlakunya kejadian yang tidak diingini;
  2. Pihak kontraktor hendaklah menentusahkan keadaan tempat di mana kerja-kerja hendak dijalankan adalah sesuai dan selamat, dengan menjalankan ujian-ujian atau pengiraan kejuruteraan yang bersesuaian. Bagi kes ini, faktor kekuatan dan kestabilan tanah yang akan menampung beban jentera serta operasi kerja yang hendak dijalankan perlu dipastikan;
  3. Pihak kontraktor hendaklah memastikan semua komponen dan peranti keselamatan pada jentera berada dalam keadaan sempurna serta berfungsi dengan baik;
  4. Operator hendaklah mengendalikan jentera dengan kaedah yang betul serta mematuhi kaedah kerja atau prosedur yang telah ditetapkan dalam manual operasi; dan
  5. Koordinasi kerja di antara semua kontraktor yang terlibat adalah sangat penting. Untuk kerja-kerja cerucuk khususnya, perancangan kerja dan penjadualan kerja adalah amat kritikal dan perlu diberi perhatian. Maklumat teknikal berkaitan jentera dan kawasan kerja seperti tekanan galas, beban kerja, jentera yang hendak digunakan beserta pelantar kerjanya, serta penyata kaedah perlu diketahui dan disediakan sebelum kerja hendak dijalankan.
 

 Maklumat Lanjut:

Cetak