• Arkib Berita
  • 2019
  • JKKP Terengganu keluar 90 notis kepada kontraktor - Berita Harian Online
Slider

JKKP Terengganu keluar 90 notis kepada kontraktor - Berita Harian Online

Berita Harian Online, 27 Mac 2019

 

 

news bho2 270319

PENGARAH JKKP negeri, Mohd Zahari Hitam pada sidang media di Wisma PERKESO. - NSTP/Ghazali Kori

 

KUALA TERENGGANU: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri mengeluarkan 90 notis larangan dan menyita serta mengarahkan aktiviti berisiko tinggi di tapak pembinaan dihentikan serta-merta.

Pengarah JKKP negeri, Mohd Zahari Hitam berkata, notis dikeluarkan selepas kontraktor didapati melakukan pelbagai kesalahan dalam operasi cegah jatuh dan runtuh di tapak projek pembinaan di negeri ini.

Dalam operasi yang diadakan selama sebulan bermula 25 Februari lalu, beliau berkata, 11 notis penambahbaikan dan 62 surat arahan kepada kontraktor dikeluarkan kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“Kontraktor turut dikenakan tindakan kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Kilang dan Jentera 1967.

“Melalui operasi itu, JKKP mengeluarkan 35 kompaun manakala kontraktor diberi tempoh sebulan untuk menjelaskan kompaun,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohd Zahari berkata, lima kontraktor yang didapati bersalah kerana melaksanakan projek pembinaan dan melanggar undang-undang akan dihadapkan ke mahkamah.

Mengulas kes kemalangan di tempat kerja, Mohd Zahari berkata, hanya satu kes pekerja di tapak projek pembinaan di daerah Kemaman dilaporkan berlaku dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, berbanding tiga kes sepanjang tahun lalu.

Sepanjang tahun lalu, katanya, tujuh kontraktor yang didapati melanggar akta ditetapkan didakwa di mahkamah dengan denda bernilai RM39,000.

Cetak Emel