Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2016
  • Larangan bekerja di Malaysia, kerajaan belum terima notis rasmi Myanmar - Berita Harian Online
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2016
  • Larangan bekerja di Malaysia, kerajaan belum terima notis rasmi Myanmar - Berita Harian Online

Larangan bekerja di Malaysia, kerajaan belum terima notis rasmi Myanmar - Berita Harian Online

Berita Harian Online, 08 Disember 2016

 

news bho 081216

MENTERI Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem. - Foto Fariz Iswadi Ismail

 

PUTRAJAYA: Kerajaan masih belum menerima notis rasmi daripada kerajaan Myanmar yang melarang rakyat negaranya untuk bekerja di Malaysia.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem, berkata bagaimanapun sekiranya perkara itu sudah disahkan, ia tidak langsung menjejaskan jumlah keperluan tenaga kerja asing di negara ini.

"Kira-kira 100,000 rakyat Myanmar bekerja di Malaysia dengan kebanyakannya dalam sektor pembuatan.

"Kita mempunyai pekerja asing yang mencukupi terutamanya dari Bangladesh. Malah baru-baru ini, kita menandatangani memorandum persefahaman dengan kerajaan Kemboja berhubung kemasukan rakyatnya untuk bekerja di Malaysia," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2016 di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.

Beliau berkata demikian bagi mengulas langkah kerajaan Myanmar yang melarang rakyatnya bekerja di Malaysia selepas hubungan kedua-dua negara tegang berikutan tindakan tegas Kuala Lumpur yang mahu kerajaan Naypyidaw dihukum kerana melakukan penindasan terhadap etnik Rohingya.

Kementerian Imigresen Myanmar dalam satu kenyataan semalam mengumumkan pihaknya menghentikan pengeluaran lesen kepada rakyatnya yang mahu bekerja di Malaysia, yang sering menjadi pilihan pekerja asing mencari rezeki.

Dalam pada itu, Kementerian Sumber Manusia turut melancarkan Pelan Strategik Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan industri kecil dan sederhana (IKS) 2016-2020 bertujuan untuk mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja dalam sektor berkenaan.

Mengulas mengenainya Richard berkata, pelan strategik itu adalah langkah sokongan terhadap pelaksanaan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMP) 2020 yang dilancarkan pada Mei lalu bagi menerapkan budaya pencegahan kemalangan di tempat kerja.

"Statistik menunjukkan IKS adalah salah satu sektor penyumbang kepada kadar kemalangan industri yang tinggi di negara ini yang sekali gus menyebabkan insiden maut selain hilang keupayaan kepada pekerja.

"Justeru kewujudan pelan strategik ini adalah tepat pada masanya untuk membantu IKS meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan," katanya.

Cetak Emel