Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2015
  • N95 tapis 95 peratus partikel halus - Harian Metro Online
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2015
  • N95 tapis 95 peratus partikel halus - Harian Metro Online

N95 tapis 95 peratus partikel halus - Harian Metro Online

The Star Online, 21 September 2015

news hm 21092015

 Pilih saiz N95(kecil atau sederhana) yang muat dengan bahagian muka.

Jerebu merujuk kepada keadaan udara tercemar dengan zarah yang boleh memasuki sistem pernafasan. Ia boleh menyebabkan masalah kesihatan serius terutama kepada yang mempunyai imuniti tubuh rendah serta penghidap asma.

Menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS), 29 kawasan di Semenanjung Malaysia dan Sarawak mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat baru-baru ini.

Bagaimanapun, tahap kesedaran orang ramai untuk melindungi diri mereka daripada habuk serta partikel halus yang mampu menjejaskan kesihatan masih berada pada tahap rendah.

Berhadapan dengan keadaan berjerebu yang seolah-olah sudah seperti satu acara tahunan di negara ini, amat penting bagi rakyat mengambil langkah tepat melindungi kesihatan sistem pernafasan masing-masing.

Pemilihan topeng muka yang betul amat penting untuk menapis sebarang partikel halus daripada masuk ke sistem pernafasan seterusnya melindungi kesihatan.

Jika dilihat, rata-rata mengenakan topeng pembedahan seperti digunakan pegawai perubatan di hospital, bukannya topeng sesuai dengan keadaan jerebu.

Penting kepada masyarakat memahami topeng muka jenis N95 adalah topeng yang mampu membantu melindungi diri daripada udara berjerebu.

Bagaimanapun, ia hanya berfungsi dengan baik sekiranya dipakai dengan cara betul dan tidak direka untuk kanak-kanak.

Mereka yang mempunyai penyakit pernafasan yang kronik, sakit jantung atau masalah kesihatan lain perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum menggunakan topeng jenis N95 kerana kerana ia mungkin memerlukan lebih banyak usaha untuk bernafas.

Topeng muka N95 sudah diuji dan disahkan mampu menapis sehingga 95 peratus partikel halus berukuran 0.3 mikron dalam udara berjerebu oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH) Amerika Syarikat.

Malah, Kementerian Kesihatan turut menasihatkan penggunaan N95 terutama sekiranya bacaan IPU mencecah 101 ke atas.

Fungsi topeng muka N95 berbeza berbanding topeng pembedahan, perubatan atau penjagaan pesakit.

Ketiga-tiga topeng muka lain dicipta bagi menapis partikel yang dikeluarkan oleh pemakainya kepada persekitarannya.

Topeng berkenaan mempunyai bukaan di tepi kerana ia menutup bahagian hadapan mulut, menyebabkan udara luar boleh memasuki hidung dan mulut. Bagaimanapun, N95 direka untuk mengurangkan pendedahan pemakai kepada pencemaran yang berada dalam udara.

Pensyarah Fakulti Sains Universiti Monash Malaysia Dr Song Beng Kah berkata, beliau bimbang dengan salah faham dalam kalangan orang ramai berkenaan jenis topeng muka yang seharusnya digunakan ketika mereka berada di kawasan luar dalam keadaan berjerebu.

Berdasarkan pemerhatiannya, kebanyakan orang masih percaya topeng muka jenis pembedahan iaitu yang mempunyai dua atau tiga lapisan, dapat melindungi pemakai daripada ancaman jerebu.

“Salah faham ini terbawa-bawa selama bertahun lamanya sejak jerebu menjadi musim tahunan negara kita hingga ia sebenarnya membahayakan kesihatan orang ramai secara kronik.

“Hakikatnya, partikel dalam jerebu biasanya bersaiz kurang daripada 2.5 mikrometer dan sememangnya tidak dapat dihalang oleh topeng muka biasa seperti topeng pembedahan itu.

“Sesiapa yang memakai topeng jenis berkenaan ketika jerebu untuk jangka masa panjang sebenarnya akan membahayakan diri dengan membenarkan bahan partikel halus bersaiz 2.5 mikrometer memasuki paru-paru dan darah melalui sistem pernafasan seterusnya mengakibatkan pelbagai jenis penyakit paru-paru, jantung dan sebagainya,” katanya.

Menurut Dr Song, satu mikrometer bersamaan satu per sejuta meter iaitu lebih halus berbanding serbuk kopi atau sehelai rambut.

Bagaimanapun, pemakaian topeng pembedahan itu boleh melindungi pernafasan daripada partikel bersaiz lebih lima mikro­meter seperti yang terkandung dalam asap enjin kenderaan.

Oleh itu, beliau berkata, wajar untuk penunggang motosikal dan basikal memakai topeng pembedahan sekiranya berada di kawasan trafik sibuk namun ia langsung tidak berkesan apabila digunakan ketika bencana jerebu.

“Ini kerana asap dan jerebu daripada kebakaran hutan mengandungi bahan partikel halus berbahaya yang bersaiz kurang daripada 2.5 mikrometer.Dalam erti kata lain, cara orang ramai meng­gunakan topeng pembedahan termasuk sekolah yang mengagihkannya kepada pelajar ketika jerebu adalah salah.

“Sebaliknya, topeng muka jenis N95 yang boleh diperoleh daripada farmasi dan pasar raya lebih berkesan untuk menapis bahan partikel halus bersaiz sekecil 0.1 mikrometer.

“Seandainya dipakai dengan cara yang betul, topeng muka jenis N95 berkesan untuk menahan 95 peratus daripada partikel halus iaitu bersaiz kurang 2.5 mikrometer yang terkandung dalam jerebu,” katanya.

Menurutnya, biarpun harga topeng muka N95 di pasaran tempatan lebih mahal berbanding topeng muka pembedahan itu, ia satu-satunya cara paling murah dan berkesan untuk melindungi pemakai daripada ancaman jerebu.

Ini penting terutama warga kota yang perlu berada di kawasan luar bangunan untuk jangka masa yang lama ketika jerebu serta pesakit yang sensitif kepada habuk dan partikel halus dalam udara seperti pesakit asma.

 

Cetak Emel