Guna kaedah betul kendali mesin bajak, racun perosak - Utusan Online

Utusan Online, 3 Disember 2014

news 03122014 uo
NORMA Othman (dua kiri) melawat pameran bahagian racun selepas merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sektor Pertanian 2014 Peringkat Negeri Kedah di Sungai Petani, semalam.

SUNGAI PETANI 2 Dis. – Petani di negeri ini disaran menggunakan kaedah yang betul semasa mengendalikan mesin membajak dan racun perosak bagi mengelakkan berlaku tragedi kemalangan maut dan kecederaan semasa sedang bekerja di sawah.

Pengarah Bahagian Hortikultur Jabatan Pertanian Malaysia, Norma Othman berkata, perkara berkenaan perlu diberi perhatian serius dan pada tahun lepas sahaja dua orang maut kerana kemalangan di ladang manakala seorang maut pada 2013.

“Mereka yang terlibat dalam sektor pertanian diminta jangan memandang remeh soal keselamatan dan perlu mematuhi setiap arahan dikeluarkan,” katanya semasa merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sektor Pertanian 2014 Peringkat Negeri Kedah di Sungai Petani Inn di sini hari ini.

Kira-kira 300 petani menyertai seminar itu anjuran Jabatan Pertanian Negeri Kedah dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Kedah.

Yang turut hadir Pengarah Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Jabatan Pertanian Malaysia, Faridah Muhammad dan Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Kedah, Mohamad Jais Suratman.

Menurut Norma, pesawah juga perlu mengelak daripada menggunakan racun seperti jenama Fenthin Acetate dan lain-lain yang tidak berdaftar dengan Lembaga Racun Makhluk Perosak di bawah pengawasan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Setakat ini, melalui Akta Racun Makhluk Perosak 1974, Jabatan Pertanian telah mengambil langkah-langkah tertentu untuk mendaftar racun perosak dan memastikan tiada racun berbahaya dijual dalam pasaran tempatan untuk kegunaan petani-petani,” ujarnya.

 

Cetak