PERUTUSAN KETUA PENGARAH JABATAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN MALAYSIA SEMPENA TAHUN BARU 2019

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Dikesempatan ini, marilah kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana di atas rahmat-Nya kita dapat menyambut tahun baru 2019 ini. Alhamdulillah kita telah diberikan peluang untuk menjalankan dan menunaikan amanah dan tanggungjawab kita ke arah memastikan tempat kerja yang selamat dan sihat.

 

Tahun 2019 dijangka akan lebih mencabar dengan ekspektasi tinggi yang diletakkan oleh pihak berkepentingan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan oleh Jabatan. Selain daripada peningkatan kemalangan di sektor berisiko tinggi yang memerlukan perhatian khusus, peralihan dan transformasi aktiviti industri ke arah Revolusi Perindustrian 4.0 juga tidak boleh dipandang mudah. Justeru, jalan penyelesaian yang segera perlu dicari bagi menangani isu ini dan usaha berterusan bagi mencegah kemalangan harus dipertingkatkan. Penguatkuasaan KKP yang dilakukan haruslah berteraskan kepada prinsip “Strict Enforcement and Zero Corruption”. Selain itu, Jabatan akan meneruskan program dan inisiatif OSHMP 2020 termasuk mengarusperdanakan aspek kesihatan pekerjaan bagi mewujudkan budaya pencegahan kemalangan dan penyakit pekerjaan di tempat kerja. Kemalangan dan penyakit pekerjaan di tempat kerja sebenarnya boleh dikawal dan dielakkan jika penaksiran risiko secara menyeluruh dijalankan agar langkah kawalan yang berkesan dapat disediakan. Justeru penekanan elemen penaksiran risiko ataupun lebih dikenali sebagai HIRARC akan dikuatkuasakan oleh Jabatan terhadap tempat kerja agar kemalangan dan penyakit pekerjaan di tempat kerja dapat dikurangkan.

 

Pada tahun 2019, Jabatan menyasarkan pencapaian kadar kemalangan di tempat kerja sebanyak 2.59 per 1,000 orang pekerja manakala kadar kemalangan maut sebanyak 4.46 per 100,000 orang pekerja. Justeru, saya memohon agar semua pihak dapat bersama-sama Jabatan melaksanakan program KKP yang berkesan di tempat kerja agar matlamat dan sasaran ini dapat dicapai. Adalah menjadi hasrat Jabatan agar usaha yang dijalankan ini selari ke arah merealisasikan “Zero Accident” atau Sifar Kemalangan di tempat kerja.

 

Akhir bicara dengan semangat tahun baru 2019, saya menyeru seluruh warga kerja JKKP mempertingkatkan keazaman, inovasi, kreativiti, usaha, disiplin dan integriti agar kita dapat memastikan Jabatan terus relevan dalam memacu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ke arah Negara Maju dan mencapai matlamat OSHMP 2020.

 

Kepada semua komuniti KKP diluar sana sama ada majikan, pekerja, pengamal KKP dan NGO, saya ingin mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2019. Semoga kita dapat meneruskan kerjasama erat ke arah mempertingkatkan tahap KKP bukan sahaja di Malaysia malahan di persada antarabangsa. InsyaAllah.

 

Sekian, terima kasih.

Ir. Hj. Omar bin Mat Piah
Ketua Pengarah,
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia

Cetak