Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2019
  • Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara dilancar - Utusan Online
Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2019
  • Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara dilancar - Utusan Online

Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara dilancar - Utusan Online

Utusan Online, 28 Februari 2019

 

UO 280219

 

SEPANG 27 Feb. - Kerajaan melancarkan Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara bagi menterjemah komitmen serta sokongan dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, dasar berkenaan adalah merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMP) 2016-2020.

Menurut Wan Azizah, dasar tersebut telah diluluskan dan dipersetujui oleh Jemaah Menteri dan ditandatangani sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 15 Januari lalu.

“Alhamdulilah, pada malam ini, dasar berkenaan telah dilancarkan dan ianya bakal mencipta sejarah baharu selain menjadi titik tolak kepada perubahan landskap KKP di negara kita.

“Kerajaan menerusi Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sentiasa serius dan komited menguatkuasakan perundangan KKP yang telah dipertanggungjawabkan. Oleh itu, dasar inimesti dihormati oleh majikan dan pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara dan Anugerah Cemerlang KKP 2018 di sini hari ini.

Matlamat utama dasar yang mengandungi sembilan sasaran utama itu adalah untuk meningkatkan tahap KKP menerusi pengurusan risiko yang mampan di tempat kerja dalam melindungi majikan dan pekerja di Malaysia.

Menurut Wan Azizah, sekiranya berlaku pelanggaran perundangan berkaitan KKP, tindakan punitif akan diambil oleh JKKP seperti notis, sita, kompaun dan tindakan mahkamah di semua sektor pekerjaan.

“Pelaksanaan dasar ini akan memberi manfaat kepada semua pihak. Sebagai contoh, majikan yang melaksanakannya akan mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan sihat untuk para pekerja mereka.

“Situasi ini akan melindungi pekerja mereka daripada sebarang risiko kemalangan dan penyakit pekerjaan dan sekaligus dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing mereka,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada 2017 telah membayar pampasan sebanyak RM3.27 billion kepada mereka yang terlibat dengan kemalangan dan penyakit di tempat kerja. - UTUSAN ONLINE

 

Print Email