Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2017
  • Ramai pekak kerana kerja - Berita Harian Online
Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2017
  • Ramai pekak kerana kerja - Berita Harian Online

Ramai pekak kerana kerja - Berita Harian Online

Berita Harian Online, 08 September 2017

 

  

KUALA LUMPUR : Penyakit pekak akibat kebisingan di tempat kerja paling banyak dilaporkan ke Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), tahun lalu. Sebanyak 91 peratus daripada 7,820 kes membabitkan penyakit pekak, tiga peratus masalah tulang-otot dan dua peratus penyakit paru-paru berpunca di tempat kerja. Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Pekerjaan) DOSH, Kormain Mohd Noor, berkata sektor pembuatan yang paling banyak dilaporkan menjadi punca masalah penyakit pekak dalam kalangan pekerja.

Katanya, penyakit tulang dan otot banyak membabitkan sektor perkhidmatan seperti bank, manakala penyakit paru-paru banyak membabitkan pekerja yang terdedah dengan suasana kerja seperti habuk atau orang ramai. "Masalah kesihatan pekerja perlu diberi perhatian serius oleh majikan kerana mereka tidak akan dapat penyakit berkenaan jika tidak terdedah di tempat kerja. "Laporan status kesihatan pekerja (pelaporan) oleh pakar perubatan kepada JKKP juga perlu ditingkatkan lagi bagi mengatasi masalah kesihatan di tempat kerja. "Tahun lalu, jumlah pelaporan kesihatan meningkat lebih tujuh ribu kes berbanding tahun sebelumnya iaitu lima ribu kes," katanya pada sidang media Seminar Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2017 di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, hari ini.

Seminar itu dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Adenan Ab Rahman, yang mewakili Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot. Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar dan Pengarah HKL, Datuk Dr Zaininah Mohd Zain. Dalam pada itu, beliau memberitahu, nisbah kemalangan dengan penyakit yang dilaporkan di negara ini adalah 41,005 kes kepada 7,820 kes atau nisbah 5 : 1. Angka itu, katanya, lebih rendah berbanding kadar kemalangan dan penyakit yang dikeluarkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) iaitu 1 : 6.

"Kesedaran majikan terhadap isu kesihatan dan pencegahan perlu ditingkatkan bagi memastikan produktiviti pekerja tidak terjejas. "Sesuatu penyakit seperti pekak memerlukan proses pemulihan yang panjang dan kematian akibat masalah kesihatan amat merugikan negara kerana kehilangan tenaga mahir," katanya.

Print Email