Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2017
  • 406 kes tempat kerja didakwa JKKP - Sinar Harian Online
Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2017
  • 406 kes tempat kerja didakwa JKKP - Sinar Harian Online

406 kes tempat kerja didakwa JKKP - Sinar Harian Online

Sinar Harian Online, 12 Ogos 2017

 

sho 140817 

 Mohd Arifin (kiri) mengiringi Ismail yang memakaikan topi keledar sebagai simbolik keselamatan dalam tinjauan mereka ke gerai pameran Karnival Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Sektor Pertanian 2017 di Kolej Vokasional Pertanian Chenor.

 

MARAN - Sebanyak 406 kes bersabit kesalahan di semua sektor tempat kerja telah didakwa di mahkamah oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kementerian Sumber Manusia, tahun lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, JKKP telah membuat sebanyak 276,312 pemeriksaan ke tempat kerja di semua sektor tersebut seluruh negara sepanjang tahun 2016.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dijalankan, sebanyak 24,631 notis telah dikeluarkan, 1,716 dikenakan kompaun dan 406 kes telah didakwa ke mahkamah.

Beliau berkata pihaknya memandang serius soal keselamatan ke atas pekerja

kerana aspek keselamatan dan kesihatan tidak boleh dipertikaikan dan ia perlu diambil perhatian oleh majikan.

"Persekitaran tempat kerja yang kondusif perlu disediakan agar para pekerja dapat menjalankan tugas dengan selesa, selamat dan sihat selain menjamin keselamatan orang awam yang berada berhampiran.

"Statistik tahun lalu menunjukkan kadar kemalangan di tempat kerja sektor pertanian berkurangan iaitu 2,359 kes berbanding pada tahun 2015 sebanyak 2,454  iaitu kurang 95 kes.

"Ini menunjukkan bahawa majikan dan pekerja di sektor Pertanian semakin peka  dan cakna terhadap isu keselamatan dan kesihatan di tempat kerja," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Sektor Pertanian 2017 di Kolej Vokasional Pertanian Chenor.

Hadir sama, Adun Chenor, Datuk Mohd Ariffin Awang Ismail; Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan (JKKP) Kementerian Sumber Manusia Datuk Ir. Mohtar Musri dan Pegawai Pendidikan Daerah Maran, Ahmad Ishak.

Ismail yang juga Ahli Parlimen Maran selanjutnya memberitahu, statistik tahun 2016 juga menunjukkan kadar kemalangan negara adalah 2.88 kes per 1,000 pekerja, manakala kemalangan maut pula adalah 4.84 kes per 100,000 pekerja.

Sehubungan itu beliau mahukan majikan dan pekerja mengutamakan budaya kerja selamat dan sihat di tempat kerja selain kempen keselamatan dipertingkatkan dari masa ke semasa.

Print Email