Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2017
  • Ramai Majikan Tak Lapor Kemalangan - Berita Harian Online
Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2017
  • Ramai Majikan Tak Lapor Kemalangan - Berita Harian Online

Ramai Majikan Tak Lapor Kemalangan - Berita Harian Online

Berita Harian Online, 27 Jun 2017

 

KUALA LUMPUR: Ramai majikan di negara ini didakwa tidak melaporkan kes kemalangan di tempat kerja yang melanggar Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994 serta menyukarkan perolehan data tepat dan terkini berhubung keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH).

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kajian Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati banyak kes tidak dilaporkan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan NIOSH.

Katanya, kegagalan melaporkan kes itu menjejaskan keberkesanan rancangan jangka sederhana dan panjang untuk menangani kes kemalangan di tempat kerja.

Beliau berkata, data berkenaan penting sejajar tema Hari OSH Sedunia tahun ini yang dipilih Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) iaitu 'Mengoptimumkan Pengumpulan dan Penggunaan Data'.

"Ini menunjukkan keperluan untuk meningkatkan kapasiti negara mengumpul dan menggunakan data yang tepat dan boleh dipercayai.

"Justeru, kempen kesedaran perlu diadakan di seluruh negara bagi memastikan majikan melaporkan kemalangan yang hampir dan berlaku di tempat kerja mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lam Thye berkata, Seksyen 51 OSHA dan peraturan 13 mengikut Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pemberitahuan Kemalangan, Kejadian Berbahaya, Keracunan dan Penyakit Pekerjaan atau NADOPOD) memperuntukkan hukuman kegagalan melapor dan menyimpan rekod.

"Penalti untuk setiap sabitan kesalahan adalah denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Print Email