Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2016
  • 9 syarikat kena kompaun RM12,500
Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2016
  • 9 syarikat kena kompaun RM12,500

9 syarikat kena kompaun RM12,500

Berita Harian Online, 09 Ogos 2016

news bho 100816
PENGARAH Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (DOSH) negeri, Jaafar Leman. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

AYER KEROH: Sembilan syarikat di negeri ini dikenakan 10 kompaun bernilai RM12,500 kerana didapati bersalah mengabaikan tahap keselamatan dan kesihatan pekerja masing-masing sejak Januari hingga Jun lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri, Jaafar Leman, berkata antara kesalahan dilakukan majikan terbabit, termasuk jentera tidak berdaftar dan tamat tempoh daftar.

"Kita dapati majikan yang melakukan kesalahan itu banyak bertumpu di tapak binaan dan kawasan kilang yang lebih terdedah kepada risiko.

"Tindakan berkenaan diambil mengikut Akta Kilang dan Jentera 1967," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2016 peringkat negeri yang dirasmikan EXCO Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk MS Mahadevan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Jaafar berkata, pada tahun lalu pihaknya sudah melakukan sebanyak 3,305 pemeriksaan di tempat kerja dan 800 membabitkan jentera.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 1,612 surat arahan dan 712 notis mengikut Akta Kilang dan Jentera 1967 (Akta 139) dikeluarkan.

"Sebanyak 914 notis pula dikeluarkan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514), kompaun (63) dan empat individu didakwa di mahkamah," katanya.

Beliau berkata, penguatkuasaan yang dilakukan JKKP Melaka kepada majikan di negeri ini bertujuan menyedarkan mereka.

Print Email