Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2016
  • Kemalangan ulang alik ke tempat kerja meningkat - Sinar Harian Online
Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2016
  • Kemalangan ulang alik ke tempat kerja meningkat - Sinar Harian Online

Kemalangan ulang alik ke tempat kerja meningkat - Sinar Harian Online

Sinar Harian Online, 10 Mei 2016

news sho 1005162
Ismail (tiga kiri) menyampaikan faedah kepada pekerja yang pernah ditimpa kemalangan pada Sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan Di Tempat Kerja 2016 di Kemaman, hari ini.

KEMAMAN – Kementerian Sumber Manusia melahirkan kebimbangan terhadap kadar kemalangan ulang alik ke tempat kerja di negara ini yang meningkat sebanyak 554 kes pada tahun lalu berbanding 2014.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, sebanyak 28,037 kes kemalangan ulang alik ke tempat kerja direkodkan pada 2014 dan ia bertambah kepada 28,591 kes pada 2015.

“Kita risau dengan peningkatan ini dan sekarang kita perlu cari jalan untuk turunkan kadar ini. Oleh itu kita juga minta ibu bapa, isteri, anak-anak dan ahli keluarga lain turut mainkan peranan dalam usaha untuk kurangkannya, sebelum ahli keluarga keluar bekerja nasihat dan doakan mereka agar selamat.

“Bagaimanapun, kita gembira sebab kadar kemalangan di tempat kerja pula catatkan penurunan. Kadar kemalangan ditempat kerja pada 2015 adalah 2.81 peratus daripada 1,000 pekerja berbanding 3.1 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Di Tempat Kerja 2016 bertemakan ‘Tekanan di tempat kerja: Cabaran Bersama’ yang diadakan di Resorts World Kijal, hari ini.

Menurutnya, dalam usaha berterusan untuk mengurangkan jumlah kemalangan itu pihaknya sebelum ini juga telah memperluaskan kempen termasuk di sekolah, universiti dan dalam kalangan pengguna jalan raya untuk meningkatkan kesedaran.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menjalankan sebanyak kira-kira 258,800 pemeriksaan ke atas tempat dan jentera pada tahun lalu dan dari jumlah itu, sebanyak 22,190 notis dikeluarkan iaitu sebanyak 913 kesalahan dikeluarkan kompaun dan sebanyak 353 kes lagi didakwa atas kesalahan berkaitan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

“Majikan dan pekerja perlu memberikan komitmen yang baik dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja,” kata beliau.

Sementara itu, menyentuh mengenai tema sambutan program berkenaan, Ismail berkata, dalam usaha kerajaan menangani isu-isu berkaitan tekanan di tempat kerja, kementeriannya menerusi JKKP telah mengambil langkah proaktif dengan membangunkan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH-MP 2020).

Katanya, pelan itu menjadi asas dan hala tuju kepada aktiviti pembangunan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini seterusnya dapat mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, sihat dan kondusif menjelang 2020.

Print Email