DOSH arah kerja-kerja bina hospital pakar dihentikan - Utusan Online

Utusan Online, 20 Februari 2015

SEREMBAN 20 Feb. – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) negeri telah mengarahkan kontraktor yang bertanggungjawab dalam pembinaan bangunan tambahan sebuah hospital pakar di sini supaya menghentikan semua kerja perancah di tapak berkenaan.

Pengarahnya, Ahmad Kahar Abu bakar berkata, arahan itu dibuat selepas hasil siasatan awal mendapati bahagian perancah paling bawah telah patah disebabkan tiga perkara.

“Tiga perkara yang ditemukan hasil siasatan itu ialah besi perancah reput, beban berlebihan dan pihak kontraktor tidak melakukan pemeriksaan mengikut peraturan.

“Kali terakhir pemeriksaan ke atas perancah itu dilakukan pada bulan lalu,'' katanya ketika dihubu­ngi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 5.15 petang semalam, empat buruh binaan warga asing berusia dalam lingkungan 25 hingga 30 tahun cedera selepas terjatuh dari perancah ketika me­lakukan kerja di tapak binaan bangu­nan tambahan hospital swasta itu.

Menurut Ahmad Kahar, dalam kejadian itu DOSH menerima maklum dua mangsa masih lagi dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini, seorang daripadanya kritikal tetapi stabil.

“Dua lagi yang dirawat di hospital swasta itu telah pun dibenarkan pulang selepas mengalami kecede­raan ringan,'' jelasnya.

Tambah Ahmad Kahar, arahan menghentikan kerja itu bertujuan membolehkan pihaknya menjalankan siasatan terperinci di lokasi kejadian.

“Kesalahan itu disiasat di bawah Peraturan Kilang dan Jentera (kendalian bangunan dan kerja kejuruteraan (keselamatan) 1986 dan Seksyen 15 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan iaitu boleh dikenakan denda RM50,000 atau penjara atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,'' jelasnya.

Dalam pada itu, Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman memberitahu, pihaknya juga akan menjalankan siasatan jika benar ada dalam kalangan pekerja di tapak binaan bangunan tambahan itu tidak mempunyai permit kerja yang sah.

“Buat masa ini imigresen tidak menerima maklumat mengenai hal itu tetapi akan panggil majikan untuk memberikan keterangan dan jika benar ada berlaku pengambilan pekerja yang tidak sah, siasatan akan dilakukan,'' tegasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Da­erah, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun memberitahu, pihaknya akan mengambil keterangan kontraktor dan majikan kepada empat buruh binaan warga asing itu.

“Setakat ini pihaknya tidak me­nerima laporan majikan buruh asing itu berhubung kejadian dan siasatan dibuat berdasarkan laporan awam.

“Kami akan mengambil ketera­ngan daripada majikan dan kontraktor terbabit bagi menyiasat kejadian sebenar," katanya.

Print